Semakan separuh penggal kedudukan ekonomi akan dibentangkan pada September, antara lain bagi menyediakan arah tuju baharu ekonomi, selari dengan manifesto Pakatan Harapan, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata kementerian itu dan Unit Perancang Ekonomi sedang menyiapkan semakan itu.

"Untuk itu, kali ini semakan separuh penggal agak berbeza, bukan hanya untuk melihat kejayaan Rancangan Malaysia ke-11, malah menetapkan sasaran berasaskan janji Pakatan Harapan," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis berbuka puasa bersama masyarakat Gombak, di sini pada Ahad.

Ditanya mengenai pengalaman seminggunya sebagai Menteri Pusat, Menteri Besar Selangor itu berkata beliau mengisi masanya mendengar taklimat dan maklum balas daripada EPU (Unit Perancang Ekonomi) mengenai pembangunan sosioekonomi negara.

Ditanya mengenai kemungkinan harga barangan akan meningkat semasa tempoh peralihan antara Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), Mohamed Azmin yakin kementerian berkaitan sedang memantau keadaan di akar umbi untuk memastikan perniagaan tidak mengambil kesempatan ke atas tempoh peralihan ini.

"Punca utama Pakatan Harapan dipilih sebagai kerajaan pusat adalah untuk memastikan kos sara hidup kekal rendah.

"Kami tidak mahu semata-mata hanya membuat pengumuman, namun yang lebih penting tindakan penguatkuasaan dilakukan bagi memastikan pihak tidak bertanggungjawab tidak mengambil kesempatan untuk menetapkan harga sesuka hati mereka," katanya.

Ditanya mengenai pertemuannya bersama lima ahli Majlis Penasihat Kerajaan yang diketuai Tun Daim Zainuddin Jumaat lepas, beliau berkata pertemuan itu membincangkan projek-projek mega kerajaan terdahulu termasuk projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi.

"Ini perlu kita teliti kerana kita perlu lihat sebahagian dari projek ini belum dikeluarkan Surat Setuju Terima, bagi projek-projek ini mungkin lebih mudah untuk kita batal tetapi kalau dah ada perjanjian, sudah tentulah ada implikasi kewangan yang perlu kita lihat," katanya.

Mengenai insentif Hari Raya kepada penjawat awam kerajaan Selangor, beliau berkata perbincangan akan dibuat bersama perbendaharaan negeri sebelum pengumuman dibuat pada perhimpunan bulanan kakitangan awam kerajaan negeri minggu depan.

"Untuk tahun ini, kita kena lihat prestasi pegawai-pegawai, anggota perkhidmatan awam dan juga melihat kedudukan kewangan negeri," katanya.

-- BERNAMA