Kerajaan mampu menjimatkan perbelanjaan ketika bencana banjir dengan mengetengahkan konsep pembinaan rumah dimana aras satu sesuatu bangunan dan rumah itu ditinggikan supaya tidak dinaiki air.

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam tulisan terbaru dalam blog beliau, Chedet menjelaskan sesebuah aras satu dimana letaknya lobi atau dewan masuk sesebuah bangunan itu boleh ditinggikan lebih kurang 12 kaki atau 3.6 meter dari aras daratan atau jalan raya.

Menurutnya lagi, dinding konkrit perlu dibina di sekitar aras bawah tingkat satu hingga ke tempat letak kereta bawah tanah sesuatu bangunan itu.

“Saya juga mencadangkan agar dibina sebuah tanjakan dari jalan raya ke pintu masuk bangunan di aras satu manakala sebuah lagi tanjakan dibina demi membolehkan kenderaan untuk turun ke tempat letak kenderaan bertingkat,” katanya.

Tambahnya, apabila hujan lebat yang mengakibatkan banjir atau air pasang berlaku, jalan raya tersebut akan berubah menjadi seperti longkang dan ini akan membantu air banjir itu mengalir dengan terus ke terusan atau sungai apabila air laut surut atau hujan reda.

Penyelesaian yang paling mudah terutama kepada perumahan di kawasan pantai timur yang sering dihimpit dengan masalah banjir ini ialah dengan membina struktur atau bangunan bertiang seperti yang selalu diguna pakai oleh rumah Melayu.

“Sesebuah rumah perlu mempunyai aras satu yang lebih tinggi daripada paras paling tinggi air bah. Struktur tiang itu pula perlu lebih kukuh dan kuat sebagai sokongan dan ianya akan ditanam sebagai pasak dengan dalam. Selain itu konrit juga diperlukan,” katanya lagi.

“Demi untuk mengelakkan kenderaan dinaiki air ketika bencana banjir, satu tanjakan perlu dibina bagi membolehkan kenderaan naik hingga ke aras satu.

Beliau menambah sebagai permulaan, sebahagian dari wang yang berkaya dijimatkan ini boleh digunakan dalam member subsidi kepada pembinaan tiang ini.

Andainya idea ini dapat diterima, arkitek boleh mereka bentuk tiang yang menarik dan ianya juga mampu dijadikan suatu pertandingan dalam memilih reka bentuk rumah bertiang paling menarik.

“Jika kita tidak mengusahakan sesuatu maka setiap tahun jugalah kita akan melihat beribu-ribu orang perlu dipindahkan sehingga ada yang akan kehilangan nyawa. Selain itu, banyak wang yang terpaksa diperuntukkan untuk makanan, urusan pemindahan dan membaiki kerosakan akibat banjir,” katanya lagi.


banjir -filepic