KUALA LUMPUR: Setiap tahun Argentina dan Malaysia terus berusaha memperkukuh dan mempelbagaikan hubungan, kata Duta Argentina ke Malaysia Manuel Jose Balaguer Salas.

Salas berkata Argentina dan Malaysia, dua buah negara yang telah menjalinkan hubungan yang sangat rapat sejak Malaysia merdeka sehingga ke hari ini.

"Perjalanan kita sebagai sebuah negara disulami cabaran. Bagaimanapun, kami telah menunjukkan daya tahan dan keupayaan untuk bersatu, mencari kekuatan dalam kepelbagaian dan aspirasi bersama," katanya dalam ucapan sempena sambutan Hari Kebangsaan Argentina di Kelab Polo Selangor, Khamis.

Salas berkata pada tahun 2022, Argentina dan Malaysia mencapai kemuncak bersejarah dalam perdagangan dua hala yang berjumlah AS$2 bilion.

Beliau berkata negara Amerika Latin itu mempunyai keterangkuman, menghormati hak asasi manusia dan komitmen terhadap keadilan sosial.

"Budaya dan warisan kami yang kaya serta ekspresi artistik adalah bukti semangat kolektif dan kuasa kepelbagaian kami," katanya.

Para tetamu yang hadir pada acara itu turut berpeluang menyaksikan perlawanan polo.

"Sememangnya, Argentina lebih dikenali sebagai negara yang mempunyai pemain bola sepak seperti Maradona dan Messi dan memenangi Piala Dunia telah membawa kegembiraan dan kebanggaan kepada kami," katanya.

-- BERNAMA