KUALA LUMPUR: Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu bersedia menggerakkan rangkaiannya di seluruh negara bagi membantu rakyat mendapatkan manfaat daripada Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang diumumkan hari ini.

Ketua Armada Nasional Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata langkah-langkah yang diumumkan menerusi PEMULIH amat kritikal untuk mengekalkan kecairan dalam ekonomi di akar umbi, di samping memelihara asas ekonomi daripada risiko keruntuhan.

Menurut beliau ia juga adalah sebagai persediaan untuk memacu fasa pemulihan apabila ekonomi dibuka secara beransur kelak.

"Untuk menyokong PEMULIH, rangkaian Armada di seluruh Malaysia sedia mainkan peranan melalui program #ArmadaPrihatin dan usaha sama dengan rakan sayap pemuda Perikatan Nasional untuk membantu rakyat khususnya peniaga kecil-kecilan dan perusahaan kecil dan sederhana mikro (PKS mikro) bagi mendapatkan manfaat daripada program-program yang ditawarkan," katanya yang juga Timbalan Ketua Pemuda Perikatan Nasional dalam kenyataan hari ini.

Wan Ahmad Fayhsal berkata Armada amat bersyukur kerana dua isu yang diangkat kepada kerajaan telah diterima baik dan diintegrasikan sebagai sebahagian daripada pakej berkenaan iaitu moratorium automatik sehingga hujung tahun serta pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk mereka yang layak.

Menurut kenyataan itu, Armada turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin atas keprihatinan terhadap keluh kesah rakyat dan mendengar pandangan yang diutarakan sepanjang beberapa libat urus.

Muhyiddin hari ini mengumumkan PEMULIH berjumlah RM150 bilion yang merupakan kesinambungan daripada tujuh program bantuan dan pakej rangsangan dengan nilai keseluruhan berjumlah RM380 bilion yang dilaksanakan kerajaan Perikatan Nasional sejak pandemik COVID-19 melanda negara awal tahun lepas.

Sementara itu, Srikandi Bersatu turut bersedia memainkan peranan aktif membantu kerajaan dalam menyediakan khidmat psikososial, latihan perniagaan atas talian, sokongan dan gerak kerja kemasyarakatan untuk mengembalikan semangat dan memberi dorongan kepada rakyat agar kembali hidup sejahtera.

Ketuanya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata Srikandi menzahirkan penghargaan kepada kerajaan kerana tidak mengenepikan kesan psikologi, tekanan mental dan emosi yang melanda rakyat seperti yang diumumkan menerusi PEMULIH.

"Bantuan Talian Kasih dan psikososial diperuntukkan melalui NGO-NGO (pertubuhan bukan kerajaan) untuk menangani isu sosial, mental, gelandangan di semua peringkat komuniti akan dapat meredakan tekanan yang dihadapi oleh ketua keluarga, wanita dan anak-anak," katanya dalam kenyataan.

Rina berkata antara perkara utama yang dibangkitkan rakyat telah dipenuhi kerajaan, dengan moratorium automatik selama enam bulan amat membantu peminjam individu B40, M40, T20 dan usahawan mikro terutama mereka yang kehilangan pekerjaan serta usahawan yang terpaksa menutup perniagaan.

Selain itu, inisiatif i-Citra dengan penyumbang KWSP boleh mengeluarkan RM1,000 setiap bulan selama lima bulan daripada simpanan mereka bagi membiayai kehidupan yang mendesak ketika ini, katanya.

Menurut kenyataan itu, kerajaan juga telah mengembangkan bantuan dan peluang perniagaan secara digital untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana meneruskan perniagaan, selain lebih banyak peluang pekerjaan akan dicipta melalui PEMULIH yang akan memberi peluang kepada anak muda dan wanita untuk bekerja.

-- BERNAMA