Setelah hampir dua bulan mendapatkan rawatan di Hospital Universiti Singapura (HUS), bayi yang mengidap penyakit Atresia Biliari (hati), Arshad Imanshah Antashah dijadual akan memulakan pembedahan pemindahan hati pada 30 Oktober ini.

Bapanya, Antashah Mohd Nor berkata, keadaan Arshad baik selain menjalani tetapan diet dan jadual pengambilan ubat serta vitamin berkaitan sejak berada di HUS Ogos lepas.

"Arshad mengambil Albumin, Vitamin K dan prosedur pemindahan darah mingguannya untuk memastikan dia betul-betul boleh menjalani pembedahan itu.

"Syukur Arshad dalam keadaan baik, doktor memaklumkan tarikh pemindahan hati adalah pada 30 Oktober ini.

"Saya sendiri akan memberikan sebahagian hati kepadanya. Kami berdua kini dalam pelan diet dan rutin pemakanan terkawal sepanjang bulan ini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.



Wajah terkini Arshad, bayi ini dijadual menjalani pembedahan pemindahan hati pada 30 Oktober ini - Gambar Antashah


Arshad sebelum ini dilaporkan memerlukan sekurang-kurangnya RM500,000 untuk membiayai kos rawatan pemindahan organ yang akan dilakukan di HUS.

Walau sedar pembedahan itu memerlukan kos besar, Antashah Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam itu terus berusaha untuk mencari dana dengan pelbagai cara selain memberikan sebahagian hatinya demi melihat melihat anak keduanya itu kembali sihat dan membesar seperti kanak-kanak lain.

Dalam pada itu jelas Antashah, keadaan semasa pendarahan di tulang belakang Arshad masih disiasat doktor.

"Itu isu besar sekarang, seandainya semuanya tidak menimbulkan sebarang masalah susulan, tarikh pemindahan hati itu tidak akan diubah lagi.

"Selain itu saya berdoa tidak ada sebarang isu dan tidak mahu penangguhan lagi terhadap tarikh yang sudah dicadangkan itu," katanya.



Wajah terkini Arshad, bayi ini dijadual menjalani pembedahan pemindahan hati pada 30 Oktober ini - Gambar Antashah


Sebelum ini, pembedahan Arshad terpaksa ditangguhkan kerana diarrhea dan muntah-muntah selain terpaksa direhatkan untuk menjalani pemeriksaan rapi.

Pada masa itu, Arshad berkemungkinan tidak serasi dengan susu baru yang yang disyorkan pakar dan mempunyai nutrien secukupnya sebelum pembedahan pemindahan hati.

Antashah memaklumkan, Arshad bagaimanapun pulang ke Kuala Lumpur sejak akhir September lepas untuk menjimatkan kos perbelanjaan di HUS.

"Saya minta keluar sekejap dari hospital kerana bil sudah terlalu banyak, pembedahan belum dijalankan dan bil sudah mencecah RM100,000.

"Kalau diikut sepanjang bulan ini ada empat bayi untuk prosedur pemindahan hati, seorang baharu membuat pembedahan, seorang ditangguhkan dan dua lagi menunggu tarikh daripada pakar HUS," jelasnya.

Ketika ditanya, apakah dana benar-benar mencukupi untuk membuat pembedahan pemindahan hati, ini kata Antashah;

"Dana boleh dikira cukup setakat ini untuk pembedahan, semoga tidak ada banyak susulan selepas pembedahan nanti kerana ia akan menjadikan lebih banyak perbelanjaan tambahan," ujarnya.

Maklumat mengenai Arshad boleh diperolehi melalui; https://www.facebook.com/Arshadimanshah, #arshadimanshah, #donateRM1forbabyarshad, #donatemoreRM1forbabyarshad dan #donateandsavebabyarshad.