Seloroh untuk meninggalkan anak-anaknya merupakan kata-kata gurauan mangsa kemalangan maut di kilometer 33 Jalan Kota Bharu-Kuala Krai, di Labok, Machang awal pagi tadi.

Menurut Tengku Anitawati Tuan Mat, abang iparnya melafazkan kata-kata berkenaan pada Sabtu lepas semasa sedang berurut.

Beliau yang ditemui di Unit Forensik Hospital Machang di sini siang tadi menjelaskan kali terakhir berjumpa mangsa pada Sabtu lepas sewaktu majlis perjumpaan keluarga di Tanah Merah.

“Dia bergurau dengan anak saudara, dia ada sakit gout dan minta anak saudara urut kaki dia. Arwah sempat berseloroh mungkin tanda-tanda nak mati,” katanya ketika ditemui Astro AWANI di sini pada Khamis.

Dalam kemalangan pada 12.30 tengah malam tadi, Perodua Alza yang dinaiki Shaikh Rahim Shaikh Abdullah, 56 tahun bersama Tengku Fariza Tuan Mat, 52 dan anak mereka, Siti Nur Alyaa Izzati , 23 tahun bertembung pacuan empat roda, Mitsubishi Triton sehingga menyebabkan ketiga-tiga mereka maut.

Seorang lagi anak perempuan shaikh rahim yang turut berada dalam kenderaan terbabit, Siti Nur Amanina, 21 tahun, mengalami kecederaan parah dan dirawat di Hospital Kuala Krai.

Manakala pemandu Mitsubishi Triton berusia 27 tahun hanya cedera dan menerima rawatan di Hospital Machang.

Menurut Tengku Anitawati lagi, kata-kata berkenaan merupakan luahan terakhir arwah yang sehingga kini masih terngiang-ngiang di telinganya.

Beliau berkata, tiada perubahan yang dilihat pada mereka memandangkan keluarga itu sentiasa ceria dan suka bergurau dengan ahli keluarga yang lain.

Katanya mereka sekeluarga baru pulang dari majlis kenduri sepupu di tanah merah dan dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kadok.

Menurutnya, jenazah tiga beranak itu dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Kusial Baru, Tanah Merah petang ini.