Skip to main content

Malaysia

Asap Kalimantan dijangka ‘kepung’ Sarawak lebih seminggu - METMalaysia

Sumber: BERNAMA
MET Malaysia memaklumkan, hujan yang turun di negara ini hanya mampu mengurangkan kesan jerebu buat sementara waktu. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Penduduk Sarawak dijangka terus berdepan udara berjerebu untuk tempoh seminggu atau lebih selagi kebakaran di Kalimantan belum dipadamkan dan tiupan angin barat daya kekal berterusan.

Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) memaklumkan, hujan yang turun di negara ini hanya mampu mengurangkan kesan jerebu buat sementara waktu.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi METMalaysia, Ambun Dindang berkata, keadaan itu dipengaruhi dua faktor utama, iaitu kebakaran dan arah tiupan angin.

“Bagi punca kebakaran, kita sedia maklum bahawa negara sedang mengalami Monsun Barat Daya yang dicirikan dengan keadaan cuaca kering, panas dan kurang hujan.

“Keadaan ini dijangka berterusan sepanjang September,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Image
Ambun Dindang, Timbalan Ketua Pengarah Operasi Met Malaysia (Jerebu, METMalaysia)
METMalaysia menjangkakan jerebu akan berlanjutan dalam tempoh seminggu atau lebih lagi, ujar Ambun.

Menurutnya, kemungkinan fenomena Super El Niño berlaku pada Oktober turut menjadi faktor yang perlu diberikan perhatian.

Jelas beliau, El Niño sudah bermula sejak Jun dan dijangka terus menguat antara Oktober hingga Disember sehingga mencapai tahap sangat kuat.

Ambun berkata, sebanyak 1,738 titik panas direkodkan di selatan dan barat Pulau Borneo pada 28 Ogos lalu.

Walaupun jumlah itu kemudian menurun kepada 261 titik panas di Kalimantan Barat, asap masih dibawa angin barat daya ke bahagian barat dan selatan Sarawak.

Beliau berkata, hujan menyeluruh amat diperlukan di kawasan kebakaran bagi memadamkan punca sebenar jerebu.

“Sepanjang September, angin masih konsisten bertiup dari arah barat daya, iaitu dari kawasan kebakaran tersebut.

“Apa yang kita harapkan ialah hujan menyeluruh, terutama di barat dan selatan Kalimantan, supaya asap jerebu yang berpunca dari kawasan itu dapat dikurangkan,” katanya.

Menyentuh operasi pembenihan awan yang dijadualkan dari 3 hingga 5 September, Ambun berkata, pelaksanaannya akan memberikan tumpuan kepada Sarawak dan utara Semenanjung.

"Kita cuba untuk meningkatkan paras air tersebut dengan melakukan pembenihan awan melalui kaedah pembenihan basah yang akan dilakukan pada waktu tersebut," katanya.


 

Must Watch Video

Advertisement