NATIONAL
ASEAN nyatakan kebimbangan terhadap situasi perang berterusan di Gaza

Pemimpin ASEAN kecam segala serangan terhadap orang awam serta infrastruktur awam yang telah mengakibatkan kematian ramai. - Gambar fail Reuters
KUALA LUMPUR: Negara anggota ASEAN menyuarakan kebimbangan mendalam terhadap konflik yang berterusan di Gaza dan wilayah Timur Tengah, menurut kenyataan pengerusi yang dikeluarkan hari ini, pada akhir Sidang Kemuncak ASEAN ke-46.
Para pemimpin blok serantau itu menegaskan, situasi kemanusiaan yang amat kritikal di Gaza dan mengecam sekeras-kerasnya segala serangan terhadap orang awam serta infrastruktur awam yang telah mengakibatkan kematian ramai, khususnya wanita dan kanak-kanak yang tidak berdosa.
"Kami menggesa semua pihak agar melindungi orang awam serta mematuhi undang-undang antarabangsa, termasuk undang-undang kemanusiaan dan hak asasi manusia antarabangsa, selain mematuhi Perintah Sementara Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2024," menurut kenyataan itu.
ASEAN turut menghargai usaha negara anggota dalam menyalurkan bantuan kemanusiaan dan menggesa semua ahli serta rakan luar ASEAN untuk terus memperkasa usaha tersebut.Selain itu, ASEAN menyatakan sokongan terhadap Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA), selain menekankan keperluan penyambungan penuh akses bantuan kemanusiaan yang tidak terhalang, pantas, selamat dan berterusan -- termasuk melalui peluasan keupayaan di lintasan sempadan dan laluan laut.
ASEAN turut menyuarakan kebimbangan serius terhadap peningkatan ujian peluru berpandu balistik antara benua dan pelancaran peluru berpandu oleh Korea Utara, yang dilihat sebagai ancaman terhadap keamanan dan kestabilan serantau.
Blok itu menggesa Korea Utara supaya meredakan ketegangan serta menyeru semua pihak berkepentingan untuk menyambung semula dialog aman, termasuk mewujudkan persekitaran kondusif bagi keamanan dan kestabilan berkekalan di Semenanjung Korea yang bebas senjata nuklear.
"Kami menegaskan kepentingan dialog aman yang berterusan di antara semua pihak bagi merealisasikan keamanan dan kestabilan berkekalan di Semenanjung Korea yang dinyahnuklear," menurut kenyataan tersebut.
Mengenai konflik di Ukraine, ASEAN menegaskan pendirian untuk terus menghormati kedaulatan, kemerdekaan politik dan keutuhan wilayah semua negara.
ASEAN turut menyuarakan kebimbangan serius terhadap peningkatan ujian peluru berpandu balistik antara benua dan pelancaran peluru berpandu oleh Korea Utara, yang dilihat sebagai ancaman terhadap keamanan dan kestabilan serantau.
ASEAN mengulangi gesaan supaya semua pihak mematuhi Piagam PBB dan undang-undang antarabangsa, serta menyeru agar konflik diselesaikan dengan segera demi mencapai perdamaian berkekalan antara Ukraine dan Rusia.
Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46, yang berlangsung di bawah Pengerusi Malaysia bagi 2025 pada 26 dan 27 Mei dengan tema "Keterangkuman dan Kemampanan", berakhir dengan jayanya hari ini.
Bersempena sidang tersebut, dua mesyuarat peringkat tinggi turut diadakan iaitu Sidang Kemuncak ASEAN-GCC Ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang julung kali diadakan, yang berperanan sebagai platform strategik memperkukuh kerjasama serantau dan antara wilayah.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami