ASEAN perlu kekal sebagai platform utama dialog, kerjasama serantau – Khaled Nordin

Mohamed Khaled berkata, ASEAN mesti kekal sebagai platform utama bagi dialog dan kerjasama dalam rantau ini, sambil menyeru negara anggota untuk terus menjunjung nilai-nilai teras dan prinsip “ASEAN First.”
KUALA LUMPUR: ASEAN mesti kekal sebagai platform utama bagi dialog dan kerjasama dalam rantau ini, sambil menyeru negara anggota untuk terus menjunjung nilai-nilai teras dan prinsip “ASEAN First”.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hari ini menegaskan, penghormatan terhadap ASEAN perlu bermula daripada negara-negara anggota sendiri.
"Justeru, marilah kita berpegang teguh kepada nilai-nilai kita dan prinsip ASEAN First, sebagai janji antara satu sama lain dan kepada masa depan rantau yang kita panggil sebagai rumah ini," katanya.
Khaled berkata demikian semasa berucap pada Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini.
Khaled turut menekankan keperluan ADMM untuk berkembang seiring dengan perubahan zaman, memandangkan ancaman keselamatan kini merentasi sempadan dan dimensi.
“Kita melihat cabaran di Laut China Selatan, tetapi kita juga perlu sedar bahawa ruang digital kita turut berisiko.
"Ancaman terhadap rangkaian dan sistem kita mungkin tidak kelihatan, tetapi sama bahayanya dengan ancaman terhadap zon maritim kita,” katanya.
Tambah beliau, pelaku bukan negara yang berkuasa kini menggunakan teknologi sebagai senjata untuk mengganggu masyarakat, menggugat kerajaan dan menjejaskan infrastruktur kritikal melalui serangan siber, penyebaran maklumat palsu dan manipulasi digital.
“Jika kita gagal melabur untuk menentang ancaman ini, kita gagal menjamin masa depan kita. Oleh itu, ADMM perlu melangkaui kerjasama ketenteraan tradisional dengan meneroka ramalan teknologi, kerjasama keselamatan siber dan inovasi bersama,” katanya.
Menurut beliau, keamanan di laut, ruang digital dan siber bukan sahaja menjadi keprihatinan ASEAN, tetapi juga tanggungjawab global, dan ASEAN melalui ADMM mesti kekal di tengah-tengah usaha ini untuk memimpin, melindungi dan menjamin keselamatan rantau ini.
Khaled turut menyatakan bahawa kuasa pemanggilan ASEAN yang semakin meluas membuktikan bahawa pihak luar percaya kepada pendekatan ASEAN.
Mesyuarat ADMM kali ini menghimpunkan menteri-menteri pertahanan dari negara anggota ASEAN bagi membincangkan isu-isu keselamatan serantau dan memperkukuh kerjasama pertahanan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


