ASEAN25 mudah dikendali hasil penerimaan masyarakat dunia terhadap Anwar - Mohamad

Menurut Mohamad, kepercayaan masyarakat antarabangsa terhadap Malaysia jelas apabila negara ini turut dijadikan tempat rujukan bagi menyelesaikan konflik serantau.
SERDANG: Kejayaan Malaysia mengendalikan Sidang Kemuncak ASEAN 2025 dengan lancar adalah hasil penerimaan tinggi masyarakat antarabangsa terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, penerimaan positif itu memudahkan urusan logistik dan pengendalian sepanjang Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN.
“Kerja kami senang kerana Datuk Seri Anwar. Penerimaan masyarakat antarabangsa itu tidak ada masalah. Itu memudahkan kami dan kami menjalankan urusan logistiknya dan akhirnya semuanya berjaya.
“Bukan calang-calang juga pemimpin yang datang. Ada yang turun kapal terbang, terus menari pun ada. Itu satu perkara yang menarik perhatian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penghargaan Sempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini, pada Isnin.
Tambah beliau, Malaysia bukan hanya berjaya dari sudut penganjuran, malah membawa keberhasilan penting sepanjang tempoh menjadi Pengerusi ASEAN.
“Hampir 90 lebih dokumen hasil dan kita juga diberi kepercayaan untuk terus menjadi pemudah cara kepada Visi Komuniti ASEAN 2045 untuk 20 tahun yang akan datang,” ujarnya.
Beliau berkata, kepercayaan masyarakat antarabangsa terhadap Malaysia jelas apabila negara ini turut dijadikan tempat rujukan bagi menyelesaikan konflik serantau.
“Sehingga kedua-dua buah negara bersahabat, Thailand dan Kemboja bersengketa tentang masalah sempadan, mereka datang ke Malaysia untuk menyelesaikan masalah,” katanya.
Beliau menyimpulkan, kejayaan sedemikian membuktikan keupayaan Malaysia mengemudi persidangan antarabangsa dalam keadaan geopolitik dunia yang tidak menentu.
Dapatkan berita ASEAN 2025 di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

