Wakil Astro AWANI Melaka dan Negeri Sembilan, Mohd Raffi Bachik, 49, menghembuskan nafas terakhir jam 2 petang ini di Hospital Melaka akibat komplikasi otak berpunca daripada tekanan darah tinggi.

Mohd Raffi yang juga merupakan Naib Yang Dipertua Kelab Media Massa Melaka, meninggalkan dua orang balu serta tiga orang anak.

Allahyarham mula berkhidmat sebagai wakil Astro AWANI dari awal penubuhan stesen berita 24 jam itu pada tahun 2007.

Beliau sebelum ini diserang angin ahmar selepas menyelesaikan liputan insiden kapal korek karam di Muar, Johor pada Selasa.

Mohd Raffi tiba-tiba pengsan dan dihantar ke Hospital Muar untuk rawatan sebelum dirujuk ke Hospital Besar Melaka dan terpaksa bergantung kepada alat sokongan hidup.

Sepanjang berkhidmat dengan Astro AWANI, Mohd Raffi menunjukkan dedikasi dalam tugasnya sebagai wakil negeri.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Kampung Serkam Darat.