KUALA LUMPUR: Syarikat penyiaran Astro Malaysia Holdings Bhd (Astro) menjalinkan kerjasama dengan restoran makanan segera, McDonald's menerusi kempen Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bagi meraikan petugas barisan hadapan sempena Ramadan.

Duta Skuad Buka Lembaran Baharu, Alif Satar berkata, menerusi kerjasama itu, Astro menyerahkan sumbangan 400 pek makanan kepada petugas Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

Katanya, sumbangan itu merupakan sebahagian program CSR Astro untuk menghargai peranan dimainkan petugas barisan hadapan dalam memerangi wabak COVID-19.

"Alhamdulillah sudah selesai, kita bagi hampir 200 pakej makanan di dua lokasi iaitu di PPUM dan IPK Kuala Lumpur. Ia sumbangan berbuka puasa kepada barisan hadapan yang berbakti di bulan puasa terutama sekali ketika waktu pandemik sekarang," katanya ketika ditemui Astro AWANI di sini, pada Isnin.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Korporat McDonald's Malaysia, Shamsidar Yahya berkata, penyerahan sumbangan itu adalah sebagai tanda sokongan atas pengorbanan barisan hadapan selama ini.

"Mereka (barisan hadapan) adalah hero kita semua terutamanya ketika dunia berdepan dengan COVID-19," katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yong Lei Choo yang menzahirkan ucapan terima kasih kepada Astro dan McDonald's mengingatkan orang ramai supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika sambutan Hari Raya.

"Saya bagi pihak Ketua Polis Kuala Lumpur mengucapkan terima kasih kepada Astro dan McDonald's. Saya juga mengambil kesempatan ini mengingatkan warga Kuala Lumpur supaya sentiasa mematuhi SOP, kita jaga kita," ujarnya.