KUALA LUMPUR: Astro Malaysia Holdings Bhd pada Selasa melancarkan rangkaian perkhidmatan produksi penyiaran, pascaproduksi dan reka bentuk visual bertaraf dunia yang dikenali sebagai Astro Studios.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Euan Smith, Astro Studios bukan hanya akan mengukuhkan kedudukan Astro sebagai destinasi utama kandungan dala negara, sebaliknya, akan turut melonjakkan lagi industri kreatif negara ke aras yang lebih tinggi.

Katanya, pelancaran Astro Studios juga sebagai kesinambungan reputasi Astro sebagai peneraju dalam teknologi, penyiaran, dan produksi yang telah mengecapi pelbagai pencapaian penting buat negara,

“Justeru, pelancaran Astro Studios sebagai sebuah enjin pemacu untuk mengukuhkan kedudukan kami sebagai destinasi utama produksi kandungan di negara dan juga sebagai hab kandungan berkualiti tinggi di rantau ini adalah merupakan satu langkah yang lazim buat kami.

“Sarat dengan bakat-bakat luar biasa dalam komuniti pelbagai kaum, yang di dokong oleh teknologi bertaraf dunia, saya yakin Malaysia mampu menjadi sebuah sensasi dalam penghasilan kandungan.

“Lantaran itu, Astro Studios adalah pendorong utama dalam merangsang pertumbuhan ekonomi industri kreatif negara,” kata Smith ketika berucap pada majlis pelancaran Astro Studios di GSC Mid Valley, di sini, pada Selasa.

Smith turut memberitahu, menerusi platform Astro Studios, para pencipta kandungan tempatan dan antarabangsa berpeluang memanfaatkan rangkaian perkhidmatan yang sama seperti yang dinikmati oleh pasukan dalaman Astro.

“Kami percaya tawaran ini sangat menarik serta mampu memberikan mereka akses kepada pasukan yang inovatif dan sebuah 'One-stop-shop' yang moden pada kadar yang menarik,” ujarnya.

Astro Studios menawarkan rangkaian perkhidmatan bersepadu kepada para pencerita, penerbit dan pengarah.

Antara khidmat yang ditawarkan termasuklah teknologi terkini seperti produksi maya XR (Extended Reality) yang dikuasakan dengan “Unreal Engine”, penyelesaian video IP inovatif untuk produksi penyiaran jarak jauh yang berkualiti tinggi, dan khidmat pasca-produksi audio-visual bagi keperluan pawagam, penyiaran dan penstriman dalam format Dolby Vision dan Dolby Atmos.