Penghasilan mesin pengeluaran beras menerusi inovasi yang diilhamkan daripada mesin pengeluaran wang (ATM) dapat dijadikan alternatif terbaik bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan makanan ruji itu.

Ia khususnya dalam kalangan masyarakat berpendapatan rendah (B40) yang berdepan kesukaran susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mulai pertengahan Mac lalu.

Selain itu, menurut Pengasas Murtadha Dakwah Centre, Mohammad Yaakub Yusra, inisiatif terbabit juga mampu dijadikan penyelesaian kepada masalah pembayaran fidyah yang ketika ini telah dikembangkan kepada pengoperasian sepanjang tahun, tidak hanya pada bulan Ramadan.

Katanya, kesemua mesin terbabit akan diserahkan kepada tiga pusat khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi kawasan Pantai Merdeka, Tanjung Dawai, Kuala Ketil dan Pusat Khidmat Parlimen Merbok sebagai permulaan, sebelum diperluas ke seluruh negara.

Selain itu, pusat operasi Murtadha Dakwah Centre yang bertempat di Sungai Jagung, di sini, juga menjadi salah satu lokasi bagi proses pengambilan dan merupakan satu-satunya mesin pengeluaran beras di negeri ini yang beroperasi 24 jam.

"Asalnya untuk fidyah. Tetapi apabila PKP, saya maklumkan kepada pasukan saya, jangan letakkan asnaf sebagai fokus.

"Sekarang ini dalam waktu fasa PKP, ada kajian menyatakan hampir 2.4 juta pengangguran berlaku, selain ramai yang terkesan," katanya.

Foto Astro AWANI

Sementara itu, ADUN Tanjung Dawai Hanif Ghazali menyifatkan inovasi yang dilakukan pusat dakwah itu mampu memberi banyak manfaat kepada masyarakat, khususnya yang tidak berkemampuan.

Tambahnya, pihaknya kini juga dalam perbincangan untuk menambahkan bilangan mesin terbabit bagi membantu lebih 60,000 penduduk di kawasan sekitar untuk mendapatkan bekalan beras.

"InsyaAllah, mesin ATM beras ini, bagi DUN Tanjung Dawai yang kita terima pagi ini, akan ditempatkan di Madrasah Zubaidiyah Merbok.

"Secara dasarnya, sebagai wakil rakyat, saya merancang menambah bilangan mesin bagi memudahkan golongan yang layak mendapat bantuan beras dalam DUN ini,” katanya.

Ketika ini, proses pengambilan beras menggunakan kad pintar yang memperuntukkan satu kilogram beras sehari untuk diberikan kepada golongan asnaf atau kumpulan yang memerlukan.

Pihak Murtadha Dakwah Centre turut meletakkan sasaran seramai lebih 100,000 kumpulan asnaf yang dijangka menerima manfaat dari projek terbabit sepanjang Ramadan tahun ini.

Ia juga diharap mampu menjadi inspirasi kepada banyak pihak dalam membantu golongan yang tidak bernasib baik.