SEREMBAN: Setiap organisasi dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) perlu memantapkan pengurusan bagi mengurangkan sekali gus mengatasi masalah buli dalam kalangan anggota, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata setiap organisasi sudah pastinya mempunyai prosedur operasi standard (SOP) masing-masing yang akan dikenakan terhadap individu yang terlibat dengan kegiatan tidak bermoral itu termasuk menamatkan perkhidmatan mereka.

"Jika didapati pelanggaran perkhidmatan itu jelas oleh mereka yang terlibat, maka pihak perkhidmatan tentera akan mengambil sebarang tindakan dan apa jua tindakan adalah selaras dengan tahap kesalahan yang dilakukan.

"Ada sampai ke tahap boleh dibuang kerja jika kes dilakukan itu benar-benar melanggar SOP perkhidmatan. Sebab itu saya kata, SOP ada, undang-undang ada, macam negara kita juga, undang-undang ada tapi pelanggaran sentiasa berlaku," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Kebangsaan Taman Tuanku Ja'afar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan berlakunya kes pukul melibatkan pelatih tentera darat di kem tentera di sini seperti yang tersebar menerusi media sosial semalam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Aidi Sham Mohamed dalam kenyataan dilaporkan berkata polis menerima laporan berkaitan kejadian kira-kira 8.23 malam, 22 April lepas dan siasatan kemudian mendapati kejadian tersebut berlaku di sebuah kem latihan tentera di Port Dickson kira-kira 10 pagi, 17 April lepas.

Mohamad berkata setakat ini beliau belum mempunyai butiran lanjut mengenai kejadian itu dan menyerahkan kepada pihak ATM serta Polis Diraja Malaysia untuk melakukan siasatan terperinci.

Beliau sehubungan itu menasihatkan setiap anggota supaya tidak terlibat atau menghentikan niat untuk menjadi pembuli sebaliknya terus menumpukan usaha menambah nilai kualiti kerja serta perkhidmatan dalam ATM.

Dalam perkembangan lain, Mohamad mengakui negara mempunyai keupayaan untuk menghasilkan kapal tempur berskala kecil bagaimanapun ia belum setanding dengan negara pembuat luar terutama dari segi penyediaan teknologi seperti alat telekomunikasi dan radar.

"Dari segi kepakaran limbungan tempatan untuk membina kapal yang sederhana besar berukuran 100 meter ke bawah, itu bukan satu yang mustahil cumanya kita memerlukan teknologi daripada rakan dari luar negara untuk membina alat komunikasi dan persenjataan," katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas sama ada kerajaan berhasrat untuk memberi ruang kepada limbungan tempatan bagi membina kapal bersaiz bawah 80 meter.

-- BERNAMA