KUALA BERANG: Op Murni oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hari ini ternyata membawa seribu satu rahmat kepada Mad Sudin Mustapa, 63, yang baru kehilangan ibunya pagi ini.

Ibu Mad Sudin, Kalthom Mat, 84, meninggal dunia pada kira-kira 9 pagi tadi akibat sakit tua.

Malangnya, kediaman dihuni dua beranak itu di Kampung Bukit Tadok, di sini ditenggelami banjir sejak semalam hingga menyukarkan kerja pengurusan jenazah warga emas berkenaan.

"Alhamdulillah, syukur kepada Tuhan kerana menghantar pasukan ATM memudahkan kerja menguruskan pengebumian ibu saya hari ini.

"Memang susah kalau tiada mereka kerana terpaksa bergantung kepada orang kampung yang saya rasa mungkin menghadapi kesukaran untuk meredah banjir sambil mengusung jenazah," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mad Sudin berkata dia segera bersetuju untuk menggunakan khidmat pasukan itu setelah dikhabarkan oleh penghulu kampung tentang operasi ATM di kampung mereka yang sedia menawarkan bantuan pada bila-bila masa.

Penugasan ATM oleh Batalion Ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja (Para) dari Kem Seri Pantai, Kuala Nerus itu diketuai Mejar Shah Hadi Shah Budin.

Sepasukan anggota yang diberi tanggungjawab mengurus situasi banjir di daerah Hulu Terengganu itu, mengusung jenazah Kalthom turun dari kediamannya lalu meredah air hingga paras pinggang sejauh hampir 100 meter sebelum jenazah dinaikkan ke dalam trak.

Jenazah kemudian dibawa ke Masjid Kampung Bukit Tadok untuk dimandi, dikafan serta disolatkan sebelum dibawa menaiki bot hingga ke tanah perkuburan di kampung berkenaan selepas solat Asar, petang ini.

Pegawai Memerintah batalion itu, Lt Kolonel Mohd Zaki Jusoh berkata bantuan menguruskan jenazah warga emas berkenaan merupakan antara tugasan kumpulannya yang diatur gerak sebagai 'first responder' membantu mangsa banjir di daerah tersebut.

Atur gerak berkenaan, katanya melibatkan tiga pegawai dan 25 anggota lain-lain pangkat termasuk aset perairan serta kenderaan bagi membantu memindahkan mangsa di kawasan terjejas ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Setakat 4 petang ini, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu (JPBNT) memaklumkan seramai 1,067 mangsa terjejas banjir gelombang keempat di negeri itu, dengan tiga PPS masih dibuka di daerah Hulu Terengganu.

-- BERNAMA