MALAYSIA
ATM siap siaga atur gerak anggota, aset pada musim tengkujuh - PAT

Mohd Nizam berkata pelbagai persediaan telah dibuat termasuk pemantauan di lokasi berisiko banjir selain simulasi diadakan sebelum musim banjir bermula. - Gambar fail/Bernama
KUANTAN: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersiap sedia menggerakkan anggota dan aset ke lokasi yang dilanda banjir pada musim tengkujuh kelak.
Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Mohd Nizam Jaffar berkata pelbagai persediaan telah dibuat termasuk pemantauan di lokasi berisiko banjir selain simulasi diadakan sebelum musim banjir bermula.
"Pemimpin setempat, panglima briged akan melihat kawasan, mereka telah melakukan tinjauan dan tahu perkara yang akan dilaksanakan, selain kita sentiasa bersedia untuk mengatur gerak aset yang sesuai sekiranya diperlukan.
"Tugas utama kita ialah membantu rakyat dan pihak berkuasa tempatan untuk menangani krisis banjir," katanya pada sidang media bersempena dengan Sambutan Hari ATM ke-92 di Pangkalan Udara Kuantan, di sini hari ini.Hadir sama Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Dr Zulhelmy Ithnain dan Panglima Tentera Udara Jen Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris.
Menyentuh mengenai penglibatan ATM dalam membantu mangsa banjir dan tanah runtuh di Sabah, beliau berkata hampir 600 anggota dan pegawai terlibat.
Mengulas mengenai Hari ATM, Mohd Nizam berkata sambutan itu berlangsung amat meriah dengan kehadiran orang ramai seawal 6.30 pagi di pangkalan udara berkenaan yang ingin menyaksikan demonstarsi dinamik, mempamerkan sinergi keupayaan aset ATM dalam mempertahankan kedaulatan tanah air.
Demonstrasi itu secara tidak langsung mempamerkan kredibiliti dan keupayaan ATM dalam menggalas tugas utama bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara.
"Selain itu, saya tidak mahu sambutan ini dijadikan karnival semata-mata, acara yang dipertontonkan di sini perlu tinggalkan impak dalam diri mereka (pengunjung) yang datang supaya rasa lebih dekat dan ramai ingin menyertai ATM," katanya.
Turut berlangsung bersempena dengan sambutan itu ialah Karnival Civil Military Cooperation (CIMIC) yang berlangsung selama dua hari hingga esok.
Sementara itu, ketika berucap Mohd Nizam berkata ATM akan terus memperkukuh diplomasi pertahanan dengan negara sahabat sebagai sebahagian daripada pendekatan menyeluruh ke arah mempertahankan keamanan, kestabilan serta kedaulatan negara.
"ATM turut menyumbang kepada keamanan sejagat melalui penglibatan dalam operasi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), pertubuhan ASEAN dan juga bantuan bencana alam," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata Jabatan Hal Ehwal Veteran bersama-sama ATM akan terus mencari ruang untuk meningkatkan lagi tahap hidup veteran termasuk perkara berkaitan dengan elaun yang masih dituntut.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami