KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus mengutamakan diplomasi pertahanan sebagai pendekatan strategik dalam menghadapi geopolitik serantau yang dinamik, berlandaskan prinsip Kepusatan ASEAN serta pendirian tidak memihak kepada mana-mana blok.
Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman berkata pendekatan itu penting bagi memastikan kepentingan dan kedaulatan negara terus menjadi keutamaan, di samping membuka ruang penyelesaian isu keselamatan menerusi rundingan tanpa menjurus kepada konflik fizikal.
“ATM sentiasa berpegang kepada prinsip Kepusatan ASEAN dengan hubungan diplomatik terus diperkukuh menerusi libat urus strategik pada peringkat kepimpinan tertinggi,” katanya dalam temu bual khas bersempena dengan sambutan Hari ATM ke-93 di sini.
Beliau berkata komitmen berkenaan diterjemahkan menerusi siri perjumpaan dan lawatan rasmi ke negara jiran termasuk Indonesia, Singapura, Filipina, Brunei, Thailand dan Kemboja.
“Prinsip kita juga adalah tidak berpihak kepada mana-mana blok, sebaliknya menjadi rakan kerjasama kepada semua negara menerusi pelbagai eksesais ketenteraan bersama Amerika Syarikat, China, Jepun, Australia dan lain-lain,” katanya.
Malek Razak berkata penglibatan ATM dalam Peraturan Pertahanan Lima Negara (FPDA) turut kekal sebagai antara satu platform penting diplomasi pertahanan dalam membina kepercayaan dan memperkukuh kerjasama antara negara anggota.
Beliau berkata Malaysia bukan sekadar mengambil bahagian dalam wacana keselamatan antarabangsa, malah turut mengungguli dan menyediakan platform bagi perkongsian kepakaran kepada negara luar.
“Ini dibuktikan apabila Malaysia telah menjadi tuan rumah kepada persidangan Undang-Undang dan Operasi Ketenteraan (MILOPS) 2026 yang berjaya menghimpunkan lebih 200 peserta keselamatan dari lebih 30 negara baru-baru ini.
“Diplomasi ini akan kita gunakan sebaik-baiknya dan seluas-luasnya kerana kita mahu mengelakkan daripada tercetusnya sebarang konflik fizikal. Jika ada isu, kita selesaikannya di meja perundingan,” katanya.
Malek Razak berkata pendekatan secara rundingan amat kritikal, mengambil kira kedudukan geografi rantau ini terutama Laut China Selatan yang luas serta berdepan isu tuntutan bertindih melibatkan kawasan sensitif.
Beliau berkata cabaran keselamatan turut semakin kompleks dengan kewujudan ancaman di ‘zon kelabu’ yang tidak semestinya dapat ditangani menerusi pendekatan ketenteraan tradisional.
-- BERNAMA