KOTA KINABALU: Bekalkan diri dengan semangat dan jiwa yang kental untuk tawan Gunung Kinabalu, nasihat warga emas berusia 90 tahun Buatin Balandong yang berjaya sampai ke puncak gunung itu 5 Sept lepas.

Buatin berkata kejayaan menawan gunung yang dikenali sebagai 'Aki Nabalu' dalam bahasa tempatan Kadazandusun itu merupakan kali kelapan dilakukannya dan ia bukan sesuatu yang mudah kerana berdepan pelbagai cabaran.

Pesara kerajaan itu berkata tanpa semangat dan jiwa yang kental, beliau tidak akan mampu mengatasi cabaran hujan lebat dengan persekitaran berkabus dan cuaca yang amat sejuk pada hari pendakian.

"Syukur, saya berjaya mengharungi dugaan dan cabaran itu sehingga berjaya sampai ke puncak. Kali terakhir saya mendaki Gunung Kinabalu ialah pada tahun 2015 sebelum berlaku gempa bumi," katanya kepada pemberita di sini pada Rabu.

Terdahulu Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menghadiahkan tanjak tradisional masyarakat Sabah atau Sigar kepada anak jati Papar itu di pejabatnya di Menara Kinabalu.

Buatin diiringi Ahli Dewan Undangan Negeri Limbahau Datuk Juil Nuatim yang merupakan cucunya dan beliau juga berkongsi pengalaman bersama Hajiji.

Hajiji berkata beliau kagum dengan keupayaan Buatin dan mengucapkan tahniah atas kejayaannyamendaki Gunung Kinabalu pada usia lanjut.

"Walaupun seorang warga emas, Buatin memang hebat. Begitu cekal, kuat, mempunyai staminatinggi sehingga mampu mendaki Gunung Kinabalu. Ini amat luar biasa dan mengagumkan," katanya.

Kejayaan Buatin menawan puncak Kinabalu itu tular di media sosial menerusi video yang memaparkan beliau sampai di puncak tertinggi Asia Tenggara itu dan digelar netizen sebagai 'atok'.

-- BERNAMA