IPOH: Perak sedang meneliti keperluan bagi operator pelancongan yang terbabit aktiviti sukan lasak dikawal selia oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) atau agensi berkaitan.

Perkara itu dimaklumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi, susulan insiden wanita parah selepas kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan (ATV) dinaiki jatuh dari tebing di Baru Kurau, kelmarin.

"ATV antara aktiviti yang masih lagi belum mendaftar secara rasmi.

"Jadi kita sedang mengkaji untuk memastikan operator pelancongan yang terbabit dalam aktiviti sukan lasak boleh dikawal selia melalui PBT atau agensi sedia ada," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan majlis pelancaran Perak Box Office, di sini, semalam.

Dalam pada itu, beliau menambah, pihaknya telah pun melaksanakan bengkel yang bertujuan mencari formula dan jalan penyelesaian dengan persatuan berkaitan.

"Kami sudah menganjurkan bengkel beberapa kali dalam tempoh setahun ini dengan kerjasama pelbagai pihak persatuan, di mana kita mencari formula untuk bantu mengawal selia secara lebih teratur.

"Sebenarnya apa-apa sukan lasak akan mempunyai risiko agak tinggi. Kita sarankan kepada pengunjung untuk sentiasa berhati-hati dalam menyertai apa jua aktiviti lasak.

"Kepada pengusaha pula kita berharap mereka dapat meneruskan dengan prosedur dan proses keselamatan yang ditetapkan dengan memberi taklimat terlebih dahulu dan mengambil insurans bagi perlindungan semua jenis kemalangan," katanya lagi. 

BACA: Wanita parah ATV terjatuh tebing 3 meter 

Sabtu lalu, media melaporkan seorang wanita parah selepas ATV dinaikinya terjatuh dari tebing setinggi tiga meter ke kawasan berbatu di kawasan air terjun di Kampung Sempeneh Cempaka, Batu Kurau.

Pemandu dipercayai hilang kawalan menyebabkan ATV terjatuh dari tebing dan menghempap batu.

Mangsa yang berusia 23 tahun mengalami kecederaan di kepala dan mulut, manakala rakan wanitanya berusia 26 tahun, yang memandu kenderaan itu, tidak mengalami kecederaan.