IPOH: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim atau pegawai mereka masih belum membuat laporan polis mengenai audio perbualan yang dikatakan mirip suara mereka.

Perkara itu disahkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Bagaimanapun beliau mengesahkan terdapat laporan polis yang dibuat, tetapi oleh orang lain.

“Yang pasti, kalau ada laporan polis, kita akan buat siasatan. Kalau Zahid kata dia tak ada buat conversation itu, dia patut yakin dan dia buat laporan polis.

“Sampai semalam, dia tak ada pun buat laporan polis. Begitu juga Anwar Ibrahim, kalau dia yakin bukan dia yang bersuara, dia buat laporan polislah.

“Saya nak bagi tahu pada rakyat semua, melakukan laporan polis dan laporan itu palsu adalah melakukan satu kesalahan. Jadi kalau dia rasa dia tak melakukan kesalahan, apa takut, buatlah laporan polis,” ujar Hamzah.

BACA: KDN akan siasat ketulenan rakaman audio - Hamzah Zainuddin

Beliau ditemui selepas program Malaysia Prihatin Kementerian Dalam Negeri Di Tambun, Perak pada Jumaat.

Sebelum ini, tular penyebaran audio perbualan berdurasi empat minit 17 saat dikatakan mirip suara Ahmad Zahid dan Anwar, sejak Selasa.

Rakaman perbualan itu menjurus pada rumusan Perhimpunan Agung UMNO 2020 pada akhir bulan lalu.

Ahmad Zahid dan Anwar kemudiannya menafikan terlibat dalam audio tersebut.

BACA: Audio tular: Shahidan akan buat laporan polis

BACA: Audio tular: Zahid Hamidi seru ahli UMNO gerakkan media sosial