KOTA KINABALU: Penubuhan Skuad Ekstrem di bawah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) adalah antara cadangan Allahyarham Leftenan Kolonel Awang Askandar Ampuan Yaacub untuk membantu negara luar yang memerlukan terutama ketika dilanda bencana.

Ketua Pesuruhjaya APM Aminurrahim Mohamed berkata peserta misi pendakian Malaysia Everest 2023 (ME2023) yang juga Pengarah APM Kedah itu menzahirkan hasrat tersebut bagi membantu negara seperti Turkiye yang dilanda gempa bumi.

Beliau turut menyifatkan Awang Askandar, 56, sebagai individu yang aktif dan pemilihannya sebagai antara peserta misi pendakian ME2023 telah menaikkan imej APM.

"Allahyarham mempunyai semangat kuat walaupun mencecah usia 56 tahun dan komitmen beliau sangat tinggi," katanya kepada pemberita selepas jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Benoni di sini hari ini.

Awang Askandar dilaporkan terjatuh ketika melakukan pendakian ke puncak Gunung Everest pada ketinggian kira-kira 8,000 meter dari aras laut sebelum disahkan meninggal dunia ketika hendak diberikan rawatan di Kem 4.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali pula berkata semua urusan berkaitan bantuan kepada keluarga Allahyarham akan diuruskan.

Beliau berkata beberapa perkara seperti kelayakan termasuk pencen, insurans serta ganjaran lain sepanjang Allahyarham berkhidmat sebagai penjawat awam juga akan diuruskan dengan baik untuk keluarganya.

"Kita akan bantu permudahkan urusan tersebut supaya keluarga mendapat pampasan dengan senang serta bantuan lain untuk kebajikan dan waris Arwah," katanya.

Bagi Masneh Jaafar, 50, yang mengenali Allahyarham sejak di Universiti Sains Malaysia pada lewat tahun 90-an, Awang Askandar dianggap sebagai abang kepada pelajar Sabah ketika itu.

Beliau berkata walaupun ketika itu Awang Askandar adalah pelajar junior di USM, dari segi umur Allahyarham lebih berusia daripada mereka.

"Apa-apa masalah memang kami akan merujuk kepada dia," katanya sambil menahan sebak ketika menceritakan kenangan bersama Allahyarham.

Rakan seuniversiti mereka, Hamzah Madi, 50, berkata kali terakhir beliau berjumpa dengan Awang Askandar ialah tahun lepas di Ranau sebelum Allahyarham bertolak untuk menyertai misi pendakian itu.

Setiap kali Allahyarham ke Ranau untuk mendaki Gunung Kinabalu, mereka sering bertemu dan pada kali terakhir, Awang Askandar menjemput beliau untuk melawatnya di Kedah.

"Kali terakhir kami jumpa itu, Allahyarham juga sedang dalam misi bantuan ke beberapa sekolah di Ranau," katanya sambil mengimbau kenangan menyambut hari jadi mereka di Bukit Bendera, Pulau Pinang kerana berkongsi bulan kelahiran yang sama dengan Allahyarham iaitu pada Disember.

-- BERNAMA