KUALA LUMPUR: Pengalaman bergaduh dengan scammer yang cuba menipu menerusi panggilan telefon menjadi pencetus kepada lagenda rock negara, Datuk Awie untuk menggerakkan jelajah kempen kesedaran 'anti scam' ke seluruh Semenanjung bermula hari ini.

Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman berkata jelajah yang mendapat sokongan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu bertujuan memberi penerangan dan meningkatkan kefahaman masyarakat khususnya di luar bandar mengenai risiko ditipu scammer.

"Ini adalah kempen untuk memberi penerangan kepada masyarakat betapa bahayanya 'scammer' ini yang kita rata-rata tahu dah 'makan' duit orang-orang kampung dan pedalaman terutamanya warga emas yang takut dengan tahap penipuan kelas dewa tertinggi ini.

"Kita beri pendedahan tentang apa yang boleh dan yang tidak boleh. Ada sebahagian daripada mereka tak tahu individu yang telefon mereka itu sedang menipu. Jadi kita bawakan pakar bagi menerangkan secara terperinci tentang scam ini," katanya ketika ditemui pada majlis pelepasan peserta konvoi Kempen Pencegahan Jenayah Komersial @ Awie Ride di Pusat Latihan Polis, di sini, hari ini.

Konvoi Kempen Pencegahan Jenayah Komersil @ Awie Ride disertai oleh 35 penunggang motosikal berkuasa tinggi dijadualkan berlangsung dalam tiga fasa dengan fasa pertama bermula hari ini sehingga 22 Julai meliputi empat negeri di utara semenanjung iaitu Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Perlis.

Peserta konvoi akan berhenti di beberapa perhentian di setiap negeri yang dilawati bagi memulakan aturcara program pencegahan jenayah komersial termasuk penyampaian ceramah kesedaran bahaya dan mencegah scammer oleh Awie sendiri.

Acara pelepasan peserta konvoi fasa pertama itu disempurnakan oleh Timbalan Pengarah (Siasatan) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Datuk Dr Mustafa Khan Abdul Samat.

Sedar mengenai risiko yang mungkin dihadapi susulan usaha yang digerakkannya itu, Awie bagaimanapun menegaskan beliau bersedia menghadapi apa juga risiko.

"Sebenarnya saya ambil risiko yang besar. Dahulu saya pernah buat jelajah anti cetak rompak (dan) rumah saya dihantar peluru. Saya tak tahu apa yang akan berlaku, tapi kita harap semoga tiada benda yang tidak elok berlaku," katanya.

Mustafa Khan di dalam ucapannya pula berkata inisiatif seperti siri jelajah itu boleh dijadikan sebagai medium yang memberikan manfaat kepada masyarakat khususnya dalam menyampaikan ilmu mengenai modus operandi dan trend jenayah terkini.

"Siri jelajah ini adalah satu perkara yang boleh dibanggakan. Tanggungjawab yang dibawa dalam menyampaikan mesej berkenaan kesedaran jenayah adalah satu amanah yang perlu disempurnakan dengan baik," katanya.

-- BERNAMA