Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Ayob Khan dilantik Pengerusi Lembaga Pengarah UTeM baharu

Satu kunjung hormat telah diadakan buat pertama kalinya kepada YBhg. Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay, Pengerusi Lembaga Pengarah, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang baharu bertempat di Hotel Marriot, Putrajaya. -- Naib Canselor UTeM Prof Ts Dr Massila Kamalrudin
Pengalaman luas Ayob Khan (tengah) dalam bidang kepimpinan dan pengurusan tertinggi satu daripada jabatan utama dalam negara diyakini mampu memperkukuh peranan Lembaga Pengarah. - Foto FB Universiti Teknikal Malaysia Melaka - UTeM
Advertisement

MELAKA: Bekas Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay dilantik Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang baharu bagi tempoh tiga tahun berkuat kuasa 16 Sept lepas.

UTeM memaklumkan pelantikan itu selepas mendapat kelulusan daripada Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir itu bagi menggantikan Datuk Husaini Omar yang telah tamat tempoh perkhidmatannya.

Menurut kenyataan UTeM, pengalaman luas Ayob Khan dalam bidang kepimpinan dan pengurusan tertinggi satu daripada jabatan utama dalam negara diyakini mampu memperkukuh peranan Lembaga Pengarah dalam memastikan hala tuju strategik universiti terus dipacu secara mampan.

"UTeM percaya pengalaman hebat beliau yang berpakejkan kewibawaan pengurusan strategik tahap tinggi mampu memimpin Lembaga Pengarah UTeM dalam mendepani cabaran mendatang.

"Pelantikan Ayob Khan dijangka memberi dimensi baharu pada kepimpinan strategik UTeM, khususnya dalam memperkukuh tadbir urus, jaringan strategik serta peranan universiti dalam pembangunan pendidikan teknikal negara," menurut UTeM dalam kenyataan hari ini.

UTeM turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Husaini atas segala sumbangan, komitmen dan khidmat bakti sepanjang tempoh beliau menerajui Lembaga Pengarah UTeM sebelum ini.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement