MALAYSIA
Ayob Khan ‘turun padang’ tebar roti canai di Sibu

Aksi spontan beliau dikongsi di media sosial dan menerima pujian ramai atas sikap rendah diri serta kemahiran memasak. -Facebook
SIBU: “Sekali-sekala kena asah bakat juga… dah nak pencen ni.”
Ringkasan AI
- Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay mencuri perhatian netizen selepas menebar roti canai di sebuah restoran mamak di Sibu semasa bercuti bersama isteri.
- Aksi spontan beliau dikongsi di media sosial dan menerima pujian ramai atas sikap rendah diri serta kemahiran memasak.
- Video tersebut menampilkan sisi santai figura berprofil tinggi yang dikenali dengan ketegasan dalam membanteras jenayah.
Menurut Ayob Khan, beliau dan isteri sedang bercuti dua hari di Sibu, Sarawak.
Ketika keluar makan malam di sebuah restoran mamak, beliau terpanggil untuk ‘ambil alih’ tugas tukang masak selepas melihat cara tebar roti canai yang katanya “tak memenuhi cita rasa”.
Tanpa berlengah, Ayob Khan terus ke belakang kaunter dan menebar tujuh keping roti canai untuk dinikmati bersama isteri.
Aksinya dirakam dan dikongsi sendiri di media sosial, lengkap dengan tanda pagar #sibusarawak dan #roticanai.
Video berdurasi dua minit itu mencuri perhatian netizen, dengan lebih 72,000 tontonan dan ribuan komen yang rata-rata memuji sikap rendah diri dan kemahiran dapur beliau.
"Tok Yob meneruskan legasi. Depa family dah buka kedai roti canai di Tanah Merah Pendang. Mana tidak tumpah kuah kalau tak ke nasi," tulis Rahimi Che Aziz.
“Tan Sri, nanti dah pencen kalau buka kedai roti canai, bagitahu naa. Kami semua nak mai makan,” tulis Mohd Aizat Syafiq
"Tan Sri, lepas buka kedai lepas pencen nanti, jangan lupa habaq kat Facebook.. Kami support ...," kata Naza Algebra.
“Tan Sri tebar memang kelasnya… tak kekok langsung. Orang hebat berjiwa rakyat, semoga panjang umur dan murah rezeki,” kata Md Yazid.
“Keluarga yang berjiwa legasi… kenangan zaman kanak-kanak yang kekal selamanya, Tan Sri. Semoga Allah memberkati,” ujar RajeeDaan Thasan
Momen santai itu turut menampilkan sisi berbeza figura berprofil tinggi yang dikenali dengan ketegasan dalam membanteras jenayah dan ekstremisme.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami