KOTA TINGGI: Pesisiran pantai di Desaru termasuk di Pantai Tanjung Lompat perlu dilengkapi bendera merah dan papan tanda amaran bagi mengingatkan orang ramai supaya tidak mandi atau berenang di kawasan berisiko.
Ahli Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said berkata beliau telah mencadangkan perkara itu kepada pihak berkuasa tempatan (PBT), khususnya bagi kawasan pantai yang mempunyai arus kuat dan tidak sesuai untuk aktiviti berenang.
“Langkah ini penting terutama ketika musim cuti sekolah apabila lebih ramai pengunjung datang ke kawasan pantai,” katanya pada sidang media dan selepas melawat keluarga mangsa lemas di Pantai Tanjung Lompat di sini hari ini.
Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) turut menasihatkan keluarga supaya mengelakkan aktiviti di laut dari September hingga Disember berikutan keadaan angin yang kuat.
Azalina berkata pengunjung juga mungkin tidak menyedari risiko kerana terdapat tapak perkhemahan yang tidak mempunyai papan tanda jelas melarang aktiviti berenang.
Ketika ditanya mengenai keperluan pengawal pantai atau lifeguard, beliau berkata perkara itu perlu diteliti kerana pesisiran pantai Pengerang luas dan melibatkan kos, berbeza dengan resort yang mempunyai pengawal pantai sebagai sebahagian daripada pengurusan mereka.
Beliau berkata keadaan laut di Pengerang berbeza daripada beberapa kawasan pantai lain seperti Terengganu, Mersing dan Tioman kerana ia merupakan laluan perdagangan yang mempunyai arus kuat.
Menurutnya keadaan angin yang kuat juga menyebabkan laut yang kelihatan tenang di permukaan tidak semestinya selamat kerana terdapat kemungkinan arus berpusing atau rip current di dalam air.
Sehingga kini, tiga daripada empat mangsa dalam insiden pada pagi Rabu lepas itu telah ditemukan lemas iaitu Muhammad Adib Hafiy Kamal, Muhammad Thaqif Rayyan Rumainoor dan Alif Taqiuddin Kamal Hasrul, kesemuanya berusia 16 tahun.
Operasi mencari seorang lagi mangsa Mohamad Haiman Fitri Supian yang masih hilang giat dijalankan.
-- BERNAMA