HYDERABAD: Duta Azerbaijan di Pakistan, Khazar Farhadov akan menjadi duta baharu negara itu ke Malaysia menggantikan Irfan Davudov.
Davudov sebaliknya akan ditugaskan di Islamabad.
Farhadov dalam catatan di X pada Jumaat mengucapkan terima kasih kepada Presiden Ilham Aliyev kerana melantiknya sebagai duta besar istimewa dan berkuasa penuh ke Malaysia dan berjanji untuk mengukuhkan lagi persahabatan serta kerjasama antara kedua-dua negara.
Farhadov mengadakan kunjungan perpisahan ke atas Presiden Pakistan, Asif Ali Zardari di Istana Presiden di Islamabad pada Jumaat.
Zardari memuji peranan duta berkenaan ketika lawatan negara Aliyev ke Pakistan pada Julai 2024, yang menandakan lembaran baharu dalam hubungan dua hala, menurut kenyataan kerajaan Pakistan.
-- BERNAMA