Keputusan Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman meletak jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) tidak bermakna beliau telah melakukan sebarang kesalahan.

Demikian ditegaskan Menteri Pengangkutan Anthony Loke hari ini susulan pengumuman peletakan jawatan oleh Azharuddin terdahulu hari ini.

"Beliau tidak didapati bersalah atas apa-apa.

"Namun, selepas laporan tersebut keluar, beliau telah mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan," katanya pada satu sidang media di lobi Parlimen, merujuk kepada laporan siasatan keselamatan MH370.

Loke turut menyentuh dapatan laporan tersebut mengenai operasi Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATSC) di mana ia menyatakan pegawai bertugas tidak menepati prosedur operasi standard (SOP).

"Oleh itu, satu jawatankuasa siasatan dalaman akan dibentuk untuk mengenal pasti tindakan yang akan diambil terhadap pegawai yang bertanggungjawab," kata beliau.

Pada Isnin, Pasukan Penyiasatan Keselamatan Lampiran 13 ICAO Malaysia bagi MH370 mengeluarkan Laporan Penyiasatan Keselamatan MH370, yang menggariskan maklumat tentang fakta, analisis, rumusan dan syor-syor keselamatan berasaskan pada dapatannya.

BACA: Kehilangan MH370: Mungkin ada campur tangan pihak ketiga - Pasukan Penyiasat

BACA: MH370: Tiada petunjuk baharu dalam laporan, waris penumpang kecewa


Ketua penyiasat Datuk Kok Soo Chon berkata Pasukan Penyiasatan Keselamatan MH370 tidak dapat menentukan punca sebenar kehilangan pesawat malang itu selepas mengenal pasti tujuh teori munasabah yang termasuk teori konspirasi, khabar angin dan gosip di media sosial.

Kok juga berkata laporan setebal 449 muka surat itu bukan laporan akhir berhubung pencarian pesawat hilang itu tetapi hanya membabitkan penyiasatan keselamatan dan ia terasing daripada siasatan pencarian dan kehakiman.

MH370 hilang pada 8 Mac, 2014, semasa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan membawa 239 penumpang dan anak kapal.