Dua bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang sebelum ini bergelar ADUN Bebas kini sah menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pada Sabtu.

ADUN Lunas, Azman Nasrudin menjelaskan tindakan yang dilakukan bersama ADUN Sidam, Dr Robert Ling Kui Ee adalah bagi mengikut jejak langkah yang dilakukan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang menyertai parti berkenaan 22 Ogos lalu.

BACA: Dua ADUN Kedah dari PKR keluar parti, sokong kerajaan PN

Tambahnya, kedua-dua mereka yang dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO) Negeri Kedah turut menzahirkan sokongan penuh keatas kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin di peringkat Pusat dan Muhammad Sanusi Md Nor di peringkat negeri.

"Insyaallah saya telah berhubung dengan kepimpinan Bersatu negeri Kedah bahawa kita akan berbincang untuk kukuhkan dan mantapkan lagi Parti Pribumi Bersatu Malaysia di negeri Kedah.

"Insya-Allah kami daripada anggota PKN (Penggerak Komuniti Negara) bersedia menerima arahan daripada Tan Sri Muhyiddin dan (Pengerusi Bersatu Kedah) Datuk Suhaimi (Abdullah).

"Ya (sudah maklum). Saya dan YB Robert secara sahnya adalah ADUN daripada Bersatu," kata Azman.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Makan Malam Penggerak Komuniti Negara Kedah di Alor Setar, pada Sabtu.

Dalam perkembangan sama, Azman turut menjelaskan pihaknya menjangkakan sekitar 10,000 ahli Penggerak Komuniti Negara di Kedah akan turut menyertai Bersatu dalam masa terdekat termasuk dalam kalangan kaum Cina dan India.

Pada 12 Mei lalu, Azman dan Robert mengesahkan telah keluar daripada PKR dan menjadi ADUN Bebas yang menyokong pembentukan kerajaan PN di peringkat negeri.

Perubahan terbabit menjadikan kerajaan PH campur Bersatu yang dipimpin Datuk Seri Mukhriz Mahathir hilang majoriti di peringkat DUN Kedah.

Kedudukan terkini komposisi DUN Kedah adalah merangkumi 15 ADUN daripada Pas, UMNO (2 kerusi) dan Bersatu dengan enam kerusi.