Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan mengadakan lawatan kerja ke Kelantan selama dua hari mulai 6 Mac bagi meninjau program pembangunan ekonomi di negeri itu.

Dalam kenyataan hari ini, kementerian itu berkata kerajaan komited untuk merapatkan jurang antara wilayah dengan menjadikannya sebagai agenda utama dalam tiga tahun terakhir Rancangan Malaysia Ke-11, tanpa membiarkan mana-mana negeri tertinggal di belakang.

"Selaku Pengerusi Majlis Tindakan Negeri (MTNg) Kelantan, beliau (Azmin) akan mempengerusikan Mesyuarat MTNg Kelantan yang akan membentangkan beberapa kertas cadangan dan pelaksanaan program pembangunan ekonomi negeri Kelantan.

"Kerjasama antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri dalam perkara ini penting untuk memastikan usaha pembangunan fizikal dan sosial di seluruh Kelantan dapat memberikan impak yang optimum kepada negeri dan rakyatnya," katanya.

Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Kelantan berkembang 4.9 peratus setahun bagi tempoh 2016 hingga 2017 berbanding pertumbuhan nasional sebanyak 5.1 peratus.

Pada 2017, ekonomi Kelantan menyumbang 1.8 peratus kepada KDNK nasional.

-- BERNAMA