Sebaik selesai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa, Mohamed Azmin Ali selesai mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu maka bermula era baru generasi kedua dalam Pakatan Rakyat, selain Lim Guan Eng di Pulau Pinang.

Hari ini dan hari-hari yang seterusnya, Pakatan Rakyat tidak seharusnya lagi terlalu bermain politik hingga lupa kepada percaturan untuk masa depan negara dan bangsa. Untuk dilihat sebagai pengganti Barisan Nasional (BN),

Pakatan Rakyat tidak boleh terus bermain politik, mencipta krisis demi krisis hingga menyebabkan rakyat bosan dan hilang kepercayaan.

Jika Pakatan Rakyat benar-benar yakin bahawa mereka adalah pengganti BN, maka tidak ada cara lain untuk mereka selain mengorak langkah ke hadapan dan berpegang kepada politik baharu yang mereka war-warkan selepas mencipta kejayaan pada 2008.

Editor Kanan Malaysiakini, Fathi Aris Omar berkata Pakatan Rakyat dalam sejarahnya itu ditunjangi generasi pemimpin 1960-an dan 1970-an, generasi pertama.

Kata beliau, tidak boleh dinafikan kejayaan yang dikecapi Pakatan Rakyat hari ini merupakan sumbangan terhebat pemimpin generasi pertama ini. Zaman pemimpin generasi pertama ini sudah berakhir, pemimpin generasi kedua perlu mengorak langkah menyusun perjuangan panjang Pakatan Rakyat.

"Masalah Pakatan Rakyat hari ini adalah mereka belum melepasi psikologi pemimpin lama.

"Yakni rasa tidak yakin pada pemimpin barisan muda tetapi sangat bergantung kuat pada Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Lim Kit Siang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan mereka seangkatan," kata Fathi dalam tulisan di laman Facebook peribadinya.

Fathi seterusnya berkata dengan hadirnya Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (semuanya barisan muda kecuali Muhyiddin) Pakatan Rakyat harus fikir bahawa masa depan persaingan mereka juga harus "muda".

Orang muda Pakatan Rakyat harus sedar masa depan mereka bersama Azmin, Lim Guan Eng dan Datuk Husam Musa serta mereka yang seangkatan.

Jika psikologi ini tidak selesai, Pakatan Rakyat selama-lamanya "tua" dengan generasi 1960-an dan 1970-an yang akan pergi tidak lama lagi. Jika Pakatan Rakyat terus menerus bergantung kepada generasi pertama, pengundi yang terdiri dari golongan muda juga akan kecewa dengan Pakatan Rakyat dan seterusnya meninggalkan mereka.

"Perbezaan pandangan antara golongan tua dan golongan muda perlu segera diselesaikan, tidak boleh dibiarkan jadi barah.

"Golongan tua seharusnya menjadi mentor kepada golongan muda, bukan menjadi penghasut kepada orang muda yang boleh menyebabkan berlakunya perpecahan," katanya lagi.

Sudah tiba masanya untuk pemimpin Pakatan Rakyat dan penyokong-penyokongnya memberi peluang kepada generasi muda meneruskan perjuangan yang diasaskan oleh generasi pertama ini. Pakatan Rakyat sudah tidak boleh terus bergantung harap kepada Anwar dan rakan-rakan mereka yang sudah tua. Zaman mereka sudah berakhir.