KUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali enggan mengulas penarikan balik gelaran "Datuk Seri" kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim oleh Sultan Selangor hari ini, lapor The Malaysian Insider.

"Tiada komen," kata Azmin ketika ditemui pemberita selepas majlis penyerahan surat tawaran Skim Pembiayaan Perumahan SelangorKu (Dana-Sel) di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK), di Shah Alam hari ini.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menarik balik darjah kebesaran yang membawa gelaran “Datuk Seri” yang diberikan kepada Anwar kerana mempersoalkan kewibawaan istana sejak penghujung 2013.

Anwar mempunyai sekurang-kurangnya tujuh darjah kebesaran dan tiga daripadanya membawa gelaran “Datuk Seri” yang diterimanya dari tahun 1990 hingga 1995.

Antaranya Darjah Seri Utama Negri Sembilan (SPNS) dari Negri Sembilan, Darjah Utama Pangkuan Negeri (DUPN) dari Pulau Pinang (membawa gelaran Datuk Seri Utama ) dan Sabah – Darjah Seri Panglima Darjah Kinabalu (SPDK) (membawa gelaran Datuk Seri Panglima).