KUALA LUMPUR:Malaysia mengamalkan Demokrasi Berparlimen dan pengasingan kuasa, justeru badan kehakiman sepatutnya perlu dilihat sebagai paling bebas daripada sebarang pengaruh.

Penganalisis politik, Mujibu Abd Muis berkata, meskipun Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan Peguam Negara dilantik atas nasihat Perdana Menteri namun masih ada kaedah lain yang lebih sesuai dalam proses pelantikan tersebut.

Menurutnya, pelantikan Peguam Negara yang diamalkan sebelum ini memberi persepsi bahawa Perdana Menteri memainkan peranan dalam menentukan pelantikan seseorang individu ke jawatan itu.

"Memang badan kehakiman wajib dan harus kelihatan bebas daripada sebarang pengaruh eksekutif. Ia boleh dilaksanakan kalau pelantikan (Peguam Negara) itu boleh diberikan peranan kepada elemen lain seperti mana melibatkan Parlimen.

BACA: Saya dan Tommy baik sahaja, malah cadangkan anugerah Tan Sri untuknya - Tun Mahathir

“Atau (pelantikan) melibatkan majlis daripada perkhidmatan kehakiman dan perundangan negara.

“Kita juga mungkin boleh luaskan skop lantikan ini dengan beri peranan lebih luas kepada Majlis Raja-Raja dalam membantu Yang di-Pertuan Agong berkenaan keputusan dalam pelantikan Peguam Negara,” katanya.


Kerajaan perlu kaji kaedah lantik Peguam Negara - Mohamad Hasan

Beliau berkata demikian ketika bersiaran langsung dalam Buletin AWANI pada Sabtu.

Tambah beliau, sekiranya usaha tersebut dilaksanakan, ia boleh memperlihatkan pelantikan Peguam Negara itu benar-benar bebas dan tidak dipengaruhi mana-mana pihak.

Begitupun, beliau menyifatkan agak sukar meminda Perlembagaan Persekutuan dalam waktu terdekat untuk mengubah proses pelantikan itu.

BACA: Tun Mahathir hairan Tommy Thomas tidak faham isu kejatuhan PH

Semalam Astro AWANI melaporkan, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kerajaan perlu segera melakukan reformasi penting berkaitan pelantikan Peguam Negara dan pemisahan jawatan antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

Mohamad membuat cadangan tersebut susulan buku bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas, “My Story: Justice in the Wilderness” yang beliau sifatkan telah mendedahkan kuasa yang dimiliki Peguam Negara serta jabatannya dalam pentadbiran undang-undang negara.

Beliau turut mencadangkan agar tatacara pelantikan yang dibuat menepati segala ciri ketelusan dan kompetensi bagi jawatan berkepentingan awam dengan kuasa yang luar biasa seperti Peguam Negara.

 
Sumber Facebook mohamad.hjhasanii