"Pelantikan apa yang Palanivel buat sedangkan Pendaftar Pertubuhan (ROS) berkata jawatankuasa MIC sedia ada tidak sah?".

Ini adalah persoalan yang ditimbulkan oleh Datuk Seri S. Vell Paari yang kini begelar ‘bekas pengarah strategik MIC’ selepas ‘dipecat’ oleh Presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel.

Vell Paari berkata beliau memang sudah menjangkakan perkara ini kerana beliau sering mengkritik kepimpinan parti.

"Saya meletak jawatan sebagai Pengarah Strategik parti itu pada tahun 2012. Beliau (Palani) memaksa saya mengambil kembali jawatan itu pada tahun 2013. Sebagai pengarah strategik, saya telah menasihati beliau di dalam pelbagai hal banyak kali. Tetapi beliau tidak pernah menghiraukan kata-kata saya,” katanya kepada Astro AWANI.

"Seperti semua orang tahu, ROS telah mengarahkan pemilihan semula dan telah berkata Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) tidak sah. Jadi, pelantikan apa yang Palani buat. Adakah ini sah?” tanya Vell Paari.

Palanivel hari ini mengumumkan pelantikan Datuk Kumar Silambaram sebagai setiausaha agung parti itu bagi menggantikan A.Prakash Rao, di dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau juga mengumumkan bahawa Ramalingam Krishnamoorthy dilantik sebagai pengarah strategik MIC bagi menggantikan Vell Paari, anak bekas presiden parti itu, Datuk Seri S.Samy Vellu, yang memilih Palanivel sebagai penggantinya.

Palanivel, yang juga Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, bagaimanapun tidak menyatakan jawatan Kumar sebelum ini.

"Saya juga melantik tiga anggota baharu Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC). Mereka ialah Karuppanan Malairaja (Pulau Pinang), Datuk Ganesan Subramaniam (Kedah) dan Ganesan Thankaveloo (Selangor).

"Mereka akan menggantikan Tan Sri K.S Nijhar, Datuk R. Ramanan dan Datuk K.S Balakrishnan," katanya.

Palanivel juga berkata Jawatankuasa Disiplin MIC kini dianggotai Karuppanan Malairaja sebagai pengerusi, Datuk Ganesan Subramaniam dan Datuk Randhir Singh.

"Kesemua pelantikan berkuat kuasa mulai hari ini dan saya telah mengeluarkan surat kepada semua mereka yang berkenaan dan mereka akan menerimanya nanti," katanya.

Sementara itu, panggilan telefon Bernama kepada Prakash Rao, tidak berjawab.

Prakash Rao digantikan hanya selepas hampir setahun dilantik menjadi setiausaha agung parti itu oleh Palanivel pada 16 Dis 2013.

Sebelum itu, A.Sakthivel, yang dilantik Palanivel sebagai setiausaha agung pada 14 Mei 2013, hanya menyandang jawatan itu selama tujuh bulan apabila beliau digantikan Prakash Rao.

Sebelum Sakthivel, jawatan itu disandang S. Murugesan selepas dilantik Palanivel, tetapi beliau berundur berikutan prestasi lemah MIC pada Pilihan Raya Umum Ke-13.