KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan menegaskan bahawa kekerapan gangguan perkhidmatan tren Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) menunjukkan penurunan mendadak sejak beberapa tahun kebelakangan ini, sekali gus menangkis dakwaan kononnya tiada penambahbaikan dilakukan.
Menterinya, Anthony Loke berkata berdasarkan data rasmi yang direkodkan oleh Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), jumlah insiden gangguan telah menurun secara signifikan dalam tempoh 2022 hingga 2025.
Advertisement
Jelas beliau, pada tahun 2022, sebanyak lebih 220 insiden gangguan direkodkan, namun jumlah itu menurun kepada kurang daripada 50 kes pada tahun lalu.
"Memang ada penambahbaikan berterusan, dan ini menunjukkan bahawa langkah mitigasi yang diambil oleh pihak Prasarana untuk memastikan penyelenggaraan ini dibuat dengan lebih baik, dan ia telah pun membuahkan hasil.
"Namun begitu, kita tahu (pengguna) belum berpuas hati dan kita (kementerian) pun belum berpuas hati. Untuk mengatakan bahawa tidak ada penambahbaikan langsung, itu satu kenyataan yang tidak adil," katanya.
Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat menjawab soalan tambahan Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) mengenai sejauhmana keberkesanan program penyelenggaraan program sedia ada dalam mengurangkan insiden kegagalan aset secara drastik dan tempoh pemulihan yang ditetapkan oleh kementerian, jika berlaku gangguan-gangguan luar jangka.
Mengulas lanjut, Anthony berkata kementerian telah menetapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang jelas kepada Prasarana bagi memastikan gangguan diminimumkan.
Mengulas isu notis awal gangguan, beliau menjelaskan bahawa tidak semua gangguan dapat dimaklumkan lebih awal kerana kebanyakannya melibatkan masalah teknikal atau sistem isyarat yang berlaku secara tiba-tiba.
"Bagaimana hendak beri notis jika gangguan berlaku secara tidak dijangka? Ini bukan gangguan biasa yang dirancang. Jika ia melibatkan penyelenggaraan berkala atau perubahan waktu operasi, notis awal memang akan diberikan kepada orang ramai," katanya.
Dalam pada itu menjawab soalan asal Syahredzan Johan (PH-Bangi), Anthony berkata Rapid Rail juga melanjutkan tempoh waktu puncak sepanjang bulan Ramadan bagi menampung perubahan corak perjalanan pengguna.
Bagi Ramadan, waktu puncak sebelah pagi akan dipanjangkan bermula jam 6.30 pagi hingga 9.30 pagi, berbanding 7 pagi hingga 9.30 pagi pada bulan biasa.
Manakala waktu puncak sebelah petang pula dipanjangkan dari jam 4 petang hingga 8 malam, berbanding 5 petang hingga 7.30 malam pada bulan-bulan lain, ujarnya.