KUALA LUMPUR: “Bagi lebih, guna lebih.”
Itu pandangan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Shamsul Ahmad ketika ditanya sama ada penggunaan elektrik pengguna domestik boleh kembali di bawah paras 600 kilowatt jam (kWh) sebulan.
Menurutnya, sama ada penggunaan kembali turun di bawah paras itu bergantung kepada pengguna sendiri, kerana had lebih tinggi berpotensi mendorong penggunaan yang turut meningkat.
“Kalau kita beri 800 kWh, orang Malaysia akan tanya kenapa turun kepada 600 kWh. Lepas itu ada juga yang tanya, kenapa tidak 1,000 kWh.
“Pada akhirnya, semua ada peranan untuk menguruskan penggunaan masing-masing. Kita perlu tahu bagaimana untuk menguruskan penggunaan,” beliau berkata demikian kepada media dalam Sidang Taklimat Media TNB di ibu negara pada Jumaat.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata, penambahbaikan subsidi elektrik berkuat kuasa bagi penggunaan mulai September hingga 31 Disember 2026.
Susulan pelaksanaan selama tiga bulan itu, Shamsul berkata kerajaan kini sedang meneliti satu mekanisme baharu bagi mengurangkan kesan kepada pengguna.
Katanya, perkara itu masih dalam perbincangan bersama Suruhanjaya Tenaga (ST) dan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).