Polis menahan seorang murid Tahun 6 di rumahnya di Taman Sri Wangsa, di sini, malam tadi kerana dipercayai merogol seorang kanak-kanak berusia empat tahun.

Suspek dipercayai melakukan perbuatan terkutuk itu kerana terangsang selepas menonton video di telefon bimbit.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata suspek yang merupakan anak sulung kepada pengasuh mangsa ditahan selepas ibu mangsa membuat laporan polis.

Menurutnya, kira-kira jam 10.30 malam pada 27 Jun lalu, mangsa mengadu sakit di bahagian kemaluan dan memberitahu bahawa anak pengasuh yang dikenali sebagai "abang" ada menyentuh kemaluannya.

“Pada 28 Jun, pengadu membawa anak perempuannya ke Klinik Tanjung Tualang untuk pemeriksaan dan doktor menyuruh pengadu membuat laporan polis.

“Kemudian, pengadu telah berjumpa dengan pengasuh dan suspek (anak sulung pengasuh) mengaku melakukan perkara tersebut,” katanya, di sini, hari ini.

Ahmad Adnan berkata siasatan awal mendapati kejadian berlaku di rumah teres satu tingkat di dalam bilik ketiga di atas katil ibu bapa suspek.

Menurutnya, kejadian berlaku sebanyak tiga kali -- pertama pada awal puasa (tarikh sebenar tidak pasti), kedua pada 3 Mei, dan ketiga pada 17 Jun lalu.

Katanya, pemeriksaan telah dilakukan doktor pakar O&G Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh dan didapati kesan koyakan pelbagai posisi hingga menyebabkan selaput dara mangsa pecah.

Di samping itu, ujarnya, terdapat kesan kemerahan pada bahagian “introitus” dan kawasan dubur mangsa disyaki berlaku kemasukan dalam kemaluan mangsa oleh objek tumpul.

Ibu suspek mengasuh lapan kanak-kanak berumur antara 2 sehingga 11 tahun mulai jam 6.30 pagi hingga 9 malam, dan mangsa telah dijaga pengasuh sejak Oktober 2017.

Suspek direman mulai hari ini hingga 5 Julai dan kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.