KUALA LUMPUR: Bahasa Malaysia perlu terus dimartabatkan di luar negara sebagai cerminan identiti, jiwa dan kedaulatan bangsa, selain menjadi jambatan memperkenalkan budaya negara kepada masyarakat antarabangsa.
Kuasa Usaha Sementara Malaysia ke Iran, Datuk Wan Aznainizam Yusri berkata, jarak ribuan kilometer dari tanah air tidak seharusnya menjadi penghalang kepada rakyat Malaysia untuk terus menggunakan dan memelihara bahasa kebangsaan.
“Bahasa Malaysia bukan sekadar alat komunikasi, malah ia adalah cerminan identiti, jiwa dan kedaulatan bangsa kita.
“Di mana-mana pun bumi dipijak, di situlah bahasa ibunda harus kita junjung tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Memartabatkan Bahasa Malaysia anjuran Kedutaan Besar Malaysia di Tehran, Iran, pada Sabtu.
Menurut Wan Aznainizam, usaha memartabatkan Bahasa Malaysia di luar negara juga penting dalam mengekalkan jati diri komuniti Malaysia di perantauan, khususnya dalam kalangan generasi muda.
Pada masa sama, bahasa kebangsaan boleh menjadi jambatan budaya untuk memperkenalkan keindahan warisan Malaysia kepada masyarakat tempatan serta komuniti diplomatik di Iran.
Mengambil inspirasi daripada tradisi kesusasteraan Parsi, beliau turut memetik karya penyair dan ahli falsafah terkenal, Jalaluddin Rumi mengenai hubungan antara bahasa, kefahaman dan persaudaraan.
Menurutnya, falsafah Rumi itu mempunyai persamaan dengan warisan Melayu yang menekankan kepentingan bahasa dan budi sebagai sebahagian daripada jati diri bangsa.
“Ungkapan Rumi dan bait pantun ini mendidik kita bahawa bahasa bukan sekadar susunan huruf, tetapi ia adalah getaran jiwa, budi pekerti dan jambatan kefahaman,” katanya.
Beliau berkata, usaha mengangkat Bahasa Malaysia di pentas antarabangsa bukan bertujuan memisahkan rakyat Malaysia daripada dunia luar, sebaliknya membawa identiti dan budaya negara merentasi sempadan.
“Hari ini, kita memartabatkan Bahasa Malaysia bukan untuk memisahkan diri kita dengan dunia luar, tetapi untuk membawa jiwa Malaysia ke persada antarabangsa.
“Biar seberapa banyak bahasa yang kita kuasai, Bahasa Malaysia tetap di hati,” katanya lagi.
Sehubungan itu, beliau menyeru warga Kedutaan Besar Malaysia serta komuniti Malaysia di Iran supaya terus menggunakan, memelihara, memartabatkan dan mempromosikan Bahasa Malaysia dalam kehidupan seharian.
Program Memartabatkan Bahasa Malaysia itu berlangsung di Kedutaan Besar Malaysia di Tehran pada 27 September dan turut menjadi platform mengukuhkan penggunaan bahasa kebangsaan dalam kalangan komuniti Malaysia di Iran.