KUALA NERUS: Institusi baitulmal perlu melakukan transformasi daripada model tradisional yang hanya berperanan mengutip dan mengagihkan bantuan kepada pendekatan lebih bersifat generatif dalam usaha memperkukuh kewangan sosial Islam serta memperluas peluang ekonomi rakyat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan berkata pendekatan lama yang bersifat distributif, iaitu sekadar menyalurkan bantuan sara hidup secara langsung tidak lagi mencukupi untuk mendepani cabaran ketidaktentuan ekonomi semasa.
Beliau berkata baitulmal perlu melonjak sebagai institusi yang bukan sahaja mengurangkan kesan kemiskinan, malah berperanan mencipta peluang baharu bagi membolehkan masyarakat meningkatkan taraf hidup secara mampan.
"Allahyarham Profesor Diraja Ungku Aziz pernah menegaskan bahawa kemiskinan bukan sekadar persoalan kekurangan pendapatan, tetapi juga kekurangan peluang untuk meningkatkan taraf hidup. Justeru, baitulmal tidak boleh hanya berperanan sebagai institusi yang mengurangkan kesan kemiskinan, sebaliknya mesti menjadi institusi yang memperluas peluang ekonomi rakyat.
"Baitulmal perlu melonjak menjadi institusi yang bersifat 'generative', iaitu bukan sekadar mengagihkan kekayaan tetapi menjana kekayaan baharu untuk diagihkan secara lestari kepada masyarakat," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Konvensyen Baitulmal Kebangsaan (KBK) 2026 di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini, hari ini.
Beliau berkata terdapat tiga pendekatan utama yang perlu diberi perhatian bagi memastikan baitulmal mampu berperanan sebagai pemangkin pembangunan sosioekonomi umat Islam secara mampan.
Pendekatan pertama ialah peralihan daripada bantuan terus kepada pemerkasaan ekonomi menerusi sinergi antara zakat, wakaf dan pembiayaan mikro Islam.
"Kita perlu menstrukturkan semula dana baitulmal melalui integrasi instrumen kewangan sosial. Kita perlu menukarkan penerima zakat (asnaf) menjadi pembayar zakat (muzakki) melalui pembiayaan mikro-Islam tanpa faedah, disokong oleh modal wakaf bagi menyediakan ruang perniagaan dan latihan kemahiran," katanya.
Beliau berkata pendekatan kedua ialah memperkukuh pendigitalan melalui teknologi kewangan serta integriti data bagi memastikan pengurusan baitulmal lebih telus, cekap dan berkesan.
"Kita mesti memanfaatkan teknologi blockchain dan kecerdasan buatan (AI) bagi membina sistem pengurusan baitulmal yang telus, cekap, dan rentas sempadan agensi.
"Integrasi data raya antara institusi agama negeri dengan pangkalan data persekutuan termasuk institusi swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) amat kritikal untuk mengelakkan ketirisan dan pertindihan bantuan. Ketelusan ini secara langsung akan membina semula keyakinan masyarakat untuk menyalurkan dana infak mereka ke institusi rasmi," katanya.
Pendekatan ketiga pula melibatkan pemerkasaan wakaf berimpak tinggi melalui kerjasama strategik antara sektor awam, swasta dan institusi agama.
Beliau berkata pihak berkuasa agama tidak boleh bergerak secara bersendirian, sebaliknya perlu membuka ruang kepada instrumen korporat seperti penerbitan sukuk wakaf atau dana pelaburan baitulmal bagi menarik penyertaan sektor korporat dan institusi perbankan Islam.
"Melalui penerbitan seperti sukuk wakaf atau dana pelaburan baitulmal, kita boleh menjemput syarikat korporat dan institusi perbankan Islam untuk melabur dalam projek pembangunan infrastruktur sosial dan alam sekitar seperti hospital komuniti, perumahan mampu milik, hab pendidikan asnaf dan akses tenaga hijau berdaya mampan dan ekonomik. Pendekatan ini seiring alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang kini menjadi keutamaan global," katanya.
Selain itu, Zulkifli berkata institusi baitulmal perlu menjadi agensi yang berpandangan jauh berasaskan teknologi digital dengan mengadaptasi konsep Pertukaran Sosial Merentas Platform yang mewujudkan gerbang digital baitulmal bersepadu yang menghubungkan data rentas negeri.
Pendekatan itu berpotensi menghapuskan kos akibat ketidakcekapan operasi, di samping membina standard ketelusan baharu yang melonjakkan keyakinan masyarakat terhadap institusi agama yang mengurus harta umat Islam.
"Pendigitalan bukan lagi merupakan pelan masa hadapan yang jauh, tetapi ia adalah realiti kejayaan yang sedang kita kecapi hari ini. Kita telah menyaksikan bagaimana transformasi digital boleh membuahkan hasil yang luar biasa. Sebagai contoh, kutipan zakat fitrah di Wilayah Persekutuan bagi 2026 melonjak 10 peratus mencecah RM18.3 juta melibatkan lebih 1.5 juta pembayar.
"Menariknya, sebanyak 40 peratus daripada keseluruhan kutipan ini diterima secara dalam talian, manakala penggunaan transaksi Kod QR Amil meningkat drastik sebanyak 63 peratus. Angka-angka ini membuktikan bahawa apabila kita menyediakan platform digital yang pantas dan mudah, masyarakat bersedia memberikan sokongan yang berlipat ganda," katanya.
Dalam pada itu, Zulkifli berkata peningkatan penggunaan aplikasi teknologi dalam tadbir urus institusi wakaf turut menunjukkan perkembangan positif apabila akses kepada sumbangan wakaf tunai di seluruh negara semakin meluas.
"Saya juga dimaklumkan bahawa melalui peningkatan penggunaan aplikasi teknologi yang telah diperkasakan dalam tadbir urus institusi wakaf di Malaysia, pihak Majlis-Majlis Agama Islam Negeri telah berjaya meningkatkan akses sumbangan wakaf tunai di seluruh negara.
"Menurut survei statistik JAWHAR, sumbangan wakaf tunai di seluruh negara telah menunjukkan lonjakan positif, iaitu daripada RM64.6 juta pada 2020 kepada RM240 juta pada 2025, iaitu peningkatan sebanyak RM175.4 juta (271.52 peratus).
"Satu perkara yang saya rasa kita perlu banggakan juga, iaitu daripada aspek akauntabiliti dan integriti, Malaysia sebenarnya telah melakar sejarah dalam dunia pengurusan kewangan Islam melalui penghasilan Piawaian Perakaunan Bagi Baitulmal, Zakat dan Wakaf (PPIBZW) pada tahun 2024. Dokumen ini adalah sebuah standard perakaunan pertama di dunia khusus dibangunkan sebagai panduan perakaunan institusi baitulmal, zakat dan wakaf di Malaysia," katanya.
-- BERNAMA