Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) berharap kerajaan dapat meneruskan insentif dan subsidi bagi penanaman padi dalam Bajet 2015 bagi membolehkan hasil padi negara dipertingkatkan.

Pengerusi Mada, Datuk Othman Aziz berkata insentif adalah sangat penting kerana ia menyentuh denyut nadi pesawah bagi memastikan hasil padi mereka bertambah.

"Kita percaya kerajaan akan teruskan insentif kepada golongan pesawah kerana kerajaan sentiasa mendengar masalah yang dihadapi oleh rakyat. Sasaran kerajaan untuk memberi subsidi kepada sasaran itu dapat memberi manfaat jangka panjang kepada negara.

"Insentif yang diperuntukkan itu dapat memberi semangat kepada golongan pesawah untuk meningkatkan lagi hasil tanaman mereka yang Kedah merupakan pembekal 40 peratus beras kepada negara," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan insentif projek estet padi Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) di sini pada Khamis.

Beliau berkata pihaknya juga berharap kerajaan akan terus mengekalkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) selain menekankan bantuan yang berkaitan pelajaran seperti bantuan awal persekolahan.

"Saya yakin Bajet 2015 akan terus kekal sebagai penyentuh jiwa rakyat dan yakin pengurangan subsidi petrol RON95 dan diesel sebanyak 20 sen seliter hari ini tidak membebankan kerana hasil penjimatan subsidi minyak akan diserah kembali kepada rakyat melalui insentif lain," katanya.

Othman sebelum itu telah menyerahkan Insentif Projek Estet Padi NKEA berjumlah RM19.81 juta kepada 5,857 orang peserta.