KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan memberikan komitmen tinggi dalam melaksanakan setiap inisiatif yang telah dirancang dalam pembentangan Bajet 2022 pada Jumaat.

Menterinya, Datuk Seri Rina Harun berkata, komitmen pihaknya bagi menjamin kesejahteraan dan kebajikan kumpulan sasar khususnya yang dinyatakan di dalam pembentangan Bajet 2022.

Menurut Rina, semua golongan masyarakat tidak kira latar belakang seharusnya menyambut dan menyokong Bajet 2022 dengan terbuka.

"Kerjasama semua pihak khususnya penerima manfaat diperlukan dalam memastikan setiap peruntukan yang dibelanjakan benar-benar membawa pulangan yang diharapkan.

"Semoga semua kumpulan sasar KPWKM dapat menikmati manfaat daripada Bajet 2022 yang menjamin kelangsungan hidup dan kebajikan semua dalam meningkatkan produktiviti bagi meneruskan agenda pembangunan negara selaras dengan aspirasi Keluarga Malaysia Makmur Sejahtera," katanya dalam  kenyataan yang dikelurarkan hari ini.

Rina berkata, peruntukan Bajet 2022 akan memberi manfaat kepada kumpulan sasar utama KPWKM yang merupakan golongan rentan yang terdiri daripada Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas, kanak-kanak, wanita, pengusaha taska, golongan di bawah Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) berasaskan kebajikan untuk berdepan cabaran yang mendatang dan meneruskan aktiviti.

Selain itu, Ahli Parlimen Titiwangsa itu juga menyambut baik peruntukan-peruntukan mesra wanita yang diumumkan di dalam Bajet 2022.

"Lebih ramai wanita yang terdiri daripada pelbagai golongan termasuk ibu tunggal dan wanita muda akan dibantu daripada aspek penjanaan pendapatan, meningkatkan penglibatan dalam kepimpinan, jaminan
kesejahteraan dan kesihatan serta perlindungan dalam merealisasikan agenda negara membangunkan wanita," katanya lagi.

Berdasarkan pengumuman Bajet 2022, KPWKM menerima peruntukan sebanyak RM2.682 bilion dengan peningkatan sebanyak 4.56 peratus berbanding tahun 2021.

Daripada jumlah tersebut, KPWKM menerima peruntukan Perbelanjaan Mengurus sejumlah RM2.506 bilion manakala peruntukan bagi Perbelanjaan Pembangunan adalah sejumlah RM175 juta.