Skip to main content

Malaysia

Bakar rumah ragut 4 nyawa, lelaki OKU pekak bisu kekal dihukum gantung

Bakar rumah ragut 4 nyawa, lelaki OKU pekak bisu kekal dihukum gantung
Dua warga emas dan dua kanak-kanak maut dalam kebakaran melibatkan sebuah rumah di Jalan Tepi Laut, Tanjung Sepat pada 2017. -Foto Sinar Harian
Advertisement

PUTRAJAYA: Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) pekak dan bisu yang meragut nyawa empat sekeluarga dalam kebakaran rumah di Tanjung Sepat, Sepang Selangor pada sembilan tahun lalu, kekal dihukum gantung oleh Mahkamah Rayuan, di sini, pada Jumaat.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Noorin Badarudin memutuskan demikian selepas menolak rayuan bekas pekerja kilang perabot, Kang Chang Heng, 47, untuk mengetepikan sabitan dan hukuman mati yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 25 November 2025.

Jeritan mangsa yang terperangkap dalam rumah ketika api marak menjadi detik ngeri dalam tragedi pembunuhan pasangan warga emas, Chia Tee Nang, 73, dan isterinya, Lim Mai Shak, 68, yang juga ibu bapa teman wanitanya, serta dua cucu pasangan itu, Chia Yuan Bin dan Ryan Chia Zeng Xi masing-masing tiga dan sembilan tahun.

Lebih memilukan, seorang cucu pasangan itu yang terselamat selepas dikelar, Andrew Chia Zeng Haol ketika kejadian berusia 11 tahun, turut menyaksikan kediaman keluarganya terbakar dan mendengar rintihan mangsa yang tidak berupaya menyelamatkan diri.

Semasa membaca keputusan sebulat suara, Noorin berkata, pembunuhan yang dilakukan Chang Heng selaku perayu dibuat dengan kejam.

Menurutnya, keterangan di mahkamah menunjukkan perayu menyerang Mai Shak ketika mangsa berada di kerusi kayu.

“Perayu mengejar dan terus menyerang mangsa walaupun Mai Shak telah terjatuh.

“Dia kemudian menyerang Andrew dengan mengelar lehernya sebanyak dua kali sebelum membakar rumah tersebut dengan sengaja,” katanya.

Hakim Noorin berkata, akibat serangan ganas itu, Andrew pengsan sebelum kembali sedar dan mendapati rumah berkenaan sudah terbakar.

Pada pandangan panel hakim, beliau berkata, keadaan ini menjadikan kes ini jauh lebih serius berbanding kes-kes pembunuhan biasa.

Mengulas status perayu sebagai individu pekak dan bisu, Noorin berkata, keadaan tersebut merupakan faktor relevan dalam menilai keadaan peribadi serta pembelaannya.

Bagaimanapun, panel mendapati kekurangan berkenaan tidak menghalang lelaki itu daripada berkomunikasi dengan orang lain menggunakan bahasa isyarat.

Mahkamah turut menolak alasan pembelaan bahawa perayu berada di rumah berkenaan selepas mendapat maklumat kediaman tersebut telah dibakar.

Noorin berkata, perayu sebelum itu mendakwa meminjam wang daripada seorang ahlong dengan menjadikan alamat rumah mangsa sebagai cagaran.

“Jika benar perayu berada di situ dengan tujuan menyelamatkan mangsa, dia boleh mendapatkan bantuan daripada orang ramai.

“Mahkamah tidak menganggap keadaan pekak dan bisu itu sebagai faktor yang memberatkan, tetapi keadaan itu juga tidak cukup meringankan kesalahan sehingga mengatasi tahap keseriusan luar biasa kes ini,” katanya.

Noorin berkata, perayu sendiri mengakui tidak memberitahu teman wanitanya yang juga saksi pendakwaan ke-22, Christina Chia Hui Ling bahawa dia berada di rumah keluarga teman wanita berkenaan, pada pagi kejadian.

Selain itu, perayu juga mengaku tidak membuat laporan polis berkaitan mesej yang didakwa diterima daripada ahlong serta kejadian kebakaran tersebut.

“Kami mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan semua elemen penting bagi kesemua pertuduhan melampaui keraguan munasabah, maka kami mengekalkan hukuman mati yang dikenakan terhadap perayu,” katanya.

Prosiding di sini dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, How May Ling sementara Chang Heng diwakili peguam, Jasmine Cheong.

Pada 13 Disember 2017, pihak polis percaya empat sekeluarga yang ditemui rentung dalam kebakaran sebuah rumah di lokasi kejadian merupakan mangsa bunuh.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Fadzil Ahmat berkata, berdasarkan siasatan awal mendapati wujud kesan tetakan pada tubuh tiga mangsa terbabit.

Susulan itu, Chang Heng ditahan dua hari kemudian, bagi membantu siasatan.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa membunuh Tee Nang, Mai Shak, Yuan Bin dan Ryan di sebuah rumah di Jalan Tepi Laut, Tanjung Sepat antara jam 4 hingga 5 pagi pada 13 Disember 2017.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan sekurang-kurangnya 12 kali jika hukuman mati tidak dikenakan.

Mahkamah turut mengekalkan hukuman penjara sembilan tahun terhadap Chang Heng kerana sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Andrew mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Sebelum ini, pada 19 Oktober 2022, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Chang Heng daripada empat pertuduhan (membunuh) dan satu pertuduhan (mencederakan) tanpa memerintahkannya membela diri.

Tidak berpuas hati dengan keputusan itu, pihak pendakwaan mengemukakan rayuan terhadap keputusan tersebut.

Mahkamah Rayuan pada 2 September 2024 membatalkan keputusan pembebasan berkenaan selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie dan mengarahkan Chang Heng membela diri di Mahkamah Tinggi.

Pada 25 November 2025, Mahkamah Tinggi mendapati Chang Heng bersalah dan dihukum mati atas pertuduhan membunuh dan penjara berkenaan kerana mencederakan Andrew. -Sinar Harian

Must Watch Video

Advertisement