KUALA LUMPUR: Insiden kesesakan di dua lorong sistem Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) di Plaza Tol Jalan Duta (arah Kuala Lumpur) yang tular di media sosial semalam, berpunca daripada pengguna tidak mempunyai baki eWallet mencukupi pada waktu puncak.

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dalam kenyataan malam ini, berkata rumusan itu diperoleh selepas pihaknya menjalankan siasatan sebaik menyedari penularan gambar terbabit.

"Hasil siasatan mendapati bahawa kesesakan tersebut berpunca daripada beberapa pelanggan yang menggunakan lorong RFID tidak mempunyai baki yang cukup dan pada masa yang sama telah menambah nilai eWallet mereka secara dalam talian di lorong tol antara jam 8 pagi hingga 8.59 pagi iaitu waktu puncak.

"PLUS memohon maaf atas kesulitan yang dihadapi dan mengambil langkah segera membantu pelanggan yang menghadapi masalah agar tidak menghalang laluan kenderaan lain.

"Orang ramai juga digesa agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) semasa berinteraksi dengan kakitangan PLUS bagi menjaga keselamatan dan kesihatan semua," kata kenyataan itu.

Katanya lagi, untuk pengalaman perjalanan yang lebih lancar, pengguna diingatkan supaya sentiasa menyemak baki eWallet dan Kad Touch 'n Go untuk transaksi sama ada menggunakan RFID, Kad Touch n' Go atau SmartTAG bagi kemudahan serta keselesaan perjalanan.