KUALA LUMPUR: Adakah kedudukan tiga jurulatih badminton perseorangan lelaki negara iaitu Hendrawan, Datuk Tey Seu Bock dan James Chua, tergugat?

Persoalan itu timbul selepas Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengiklankan di Facebook mengenai mereka mencari tiga jurulatih perseorangan lelaki untuk skuad senior, hari ini.

"Mari, sertai keluarga BAM dan berkhidmat untuk negara," katanya.

Pengarah Pengurusan BAM Michelle Chai ketika dihubungi Bernama berkata perkara itu merupakan sebahagian daripada proses biasa, yang bertujuan sebagai persediaan untuk pembangunan masa hadapan.

"Ketika ini mereka masih dalam kontrak bersama kita. Kontrak James akan bersambung sehingga Julai, manakala kontrak Hendrawan dan Seu Bok akan tamat hujung tahun ini.

"Iklan ini, hanyalah sebagai tindakan berjaga-jaga. Jika pada bulan Januari nanti, kita mahu ambil jurulatih baharu, kita hanya perlu bersedia untuk sebarang kemungkinan," katanya.

Michelle berkata jika seorang jurulatih baharu akan menyertai BAM, mereka akan ditawarkan kontrak bagi tempoh antara dua ke empat tahun.

Seu Bock telah bersama BAM sejak 2002, manakala Hendrawan sejak 2009.

James pula mula berkhidmat dengan BAM pada 2022.

-- BERNAMA