LABUAN: Beberapa kawasan di Labuan bergelap hampir 18 jam bermula 4 petang semalam berikutan gangguan bekalan elektrik tidak berjadual.

Antara terjejas ialah Jalan Bunga Dahlia menyebabkan premis perniagaan di kawasan itu termasuk hotel, restoran dan kedai terpaksa menghentikan operasi.

Turut terjejas ialah perniagaan yang bergantung terhadap simpanan sejuk beku seperti di pelabuhan kontena Labuan, sekali gus menyebabkan pemilik kontena sejuk beku gusar akan kerugian barangan sejuk beku mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif Megah Port Management Sdn Bhd Idjal Tahir berkata ketiadaan bekalan elektrik yang berlarutan sudah tentu menjejaskan barangan sejuk beku yang disimpan di dalam kontena reefer.

Roger Lee, 59, pemilik perniagaan di Jalan Bunga Dahlia berkata bekalan elektrik yang gagal dipulihkan hingga pagi ini menyebabkannya kerugian.

"Kami sangka bekalan elektrik sudah pulih pagi ini, namun nampaknya ia (gangguan bekalan) berlarutan hingga 10 pagi ini," katanya.

Seorang petugas sebuah hotel bajet pula memaklumkan bekalan elektrik yang terputus menjejaskan operasi mereka.

"Tetamu yang menginap melahirkan rasa kurang senang atas kesulitan yang disebabkan oleh gangguan bekalan elektrik," katanya.

Sementara itu, Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) Labuan yang dihubungi memaklumkan gangguan bekalan elektrik berkenaan berpunca daripada kerosakan pada kabel utama.

"Feeder Town 3/WLYH10 yang terpelantik menyebabkan gangguan bekalan terhadap Pelabuhan Labuan dan sekitar bandar masih dalam tindakan pembaikan setakat ini," kata pegawai SESB.

-- BERNAMA