WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Jumaat mengancam untuk mengenakan cukai tinggi terhadap syarikat AS yang membina pusat data di luar negara.
"Kami tidak akan membenarkan syarikat kami membina pusat data di luar negara," kata Trump kepada pemberita pada taklimat di Rumah Putih, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
"Jika mereka mahu berbuat demikian, mereka boleh melakukannya. Tetapi kami akan mengenakan cukai yang sangat tinggi terhadap mereka."
Bagaimanapun, masih tidak jelas kuasa yang boleh digunakan Trump untuk mengenakan cukai sedemikian. Kongres mempunyai kuasa menetapkan cukai persekutuan, manakala Parti Republikan dijadualkan menyerahkan penguasaan kedua-dua dewan Kongres kepada Parti Demokrat pada Januari.
Bantahan meluas masyarakat terhadap pusat data di AS merupakan antara faktor yang membantu kemenangan Parti Demokrat dalam pilihan raya bulan ini, namun Trump tetap menjadi penyokong kuat industri kecerdasan buatan (AI).
Syarikat AS telah membina pusat data di luar negara, termasuk di Eropah, sejak beberapa tahun lalu.
Trump berkata beliau mahu lebih banyak pusat data dibina di AS, sambil memberi amaran bahawa jika kemudahan itu dibina di luar negara, "China akan mengambil alih semuanya."
Beliau berkata AS sedang bersaing dengan China untuk menerajui bidang AI dan berpendapat bahawa pihak yang memenangi persaingan itu akan memperoleh kelebihan yang lebih luas.
Trump berkata beliau dan Presiden China Xi Jinping telah mencapai persetujuan mengenai beberapa langkah perlindungan bersama berkaitan AI dalam pertemuan mereka di Shenzhen minggu ini, namun tidak memberikan butiran lanjut.
Setiausaha Perbendaharaan AS Scott Bessent sebelum itu memberitahu CNBC bahawa kedua-dua pihak bersetuju tiada operasi ketenteraan besar boleh dilancarkan tanpa penglibatan manusia.
-- BERNAMA-dpa