MALAYSIA
Bangkai helikopter PDRM terhempas akan dibawa ke PGU Subang - Komander PGU

Bangkai helikopter PDRM yang terlibat dalam kemalangan Khamis lepas berjaya dinaikkan dengan kerjasama pelbagai agensi di Sungai Pulai hari ini. - Foto Bernama
ISKANDAR PUTERI: Bangkai helikopter milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terhempas di Sungai Pulai, Gelang Patah di sini minggu lepas, berjaya dinaikkan sekitar 11 pagi ini dan akan dibawa ke Pasukan Gerakan Udara (PGU) Subang, Selangor bagi tujuan siasatan lanjut.
Ringkasan AI
- Bangkai helikopter PDRM yang terhempas di Sungai Pulai berjaya dinaikkan, dan akan dibawa ke PGU Subang untuk siasatan lanjut oleh BSKU.
- Operasi melibatkan kerjasama pelbagai agensi, termasuk TLDM, PPM Wilayah Dua dan APMM, dengan proses angkat dilakukan menggunakan kapal kren.
- Kelima-lima mangsa nahas dilaporkan stabil, selepas insiden ketika latihan MITSATOM 2025 bersama negara serantau di Jeti Maritim Gelang Patah.
Operasi menaikkan helikopter jenis AS355N dengan nombor pendaftaran 9M-PHG itu dilaksanakan secara berperingkat dengan kerjasama pelbagai agensi sejak awal pagi tadi.
Bangkai helikopter tersebut dinaikkan dengan menggunakan sebuah kapal kren dan diiringi beberapa aset PDRM.

Kerjasama pelbagai agensi mempercepatkan proses menaikkan bangkai helikopter ini dan membolehkan siasatan lebih menyeluruh dijalankan. - Foto Bernama
Antara agensi terlibat ialah Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Tinjauan Bernama di lokasi sejak 7.30 pagi mendapati persiapan operasi dijalankan secara teliti sebelum bangkai helikopter dinaikkan secara berperingkat dan kemudian dibawa ke jeti berhampiran.
Dalam insiden pada Khamis lepas, helikopter berkenaan terhempas ketika terlibat latihan Multilateral Nuclear Security Detection Exercise (MITSATOM) 2025 yang membabitkan kerjasama antara Malaysia, Indonesia, Thailand dan Singapura di Jeti Maritim Gelang Patah.
Setakat 13 Julai lepas, kelima-lima mangsa nahas dilaporkan stabil termasuk dua anggota yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami