BESUT:  Seorang pengarah syarikat Malee Beach Resort didenda RM150,000 kerana gagal mematuhi syarat pembinaan sehingga menyebabkan kematian dua buruh binaan pada 9 November tahun lepas.

Lee Boon Han, 55, membuat pengakuan bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fadhli Mahmud di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melanggar kewajipan sebagai kontraktor untuk memastikan keselamatan bangunan serta kerja pembinaan semasa projek dijalankan di resort berkenaan.

Tertuduh didakwa mendirikan bangunan dengan menggunakan lukisan konsep disediakan oleh pelukis bebas yang tidak boleh digunakan di dalam apa-apa projek pembinaan selain tidak mempunyai perakuan daripada perunding bertauliah.

Kertas pertuduhan juga antara lain menyebut tertuduh membina bangunan utama tanpa mendapatkan kelulusan pembinaan dan kebenaran merancang daripada Majlis Daerah Besut.

Selain itu, tertuduh tidak melaksanakan siasatan tanah di tapak bina bangunan dan tidak menyediakan laporan kesan alam sekitar bagi projek bangunan yang dibina.

Tertuduh juga melantik penyelia tapak yang tidak kompeten dan mengambil pekerja tidak mahir serta tidak memiliki apa-apa perakuan kemahiran serta akreditasi daripada Lembaga sebagai pekerja binaan.

Perbuatan tersebut mengakibatkan keseluruhan bangunan tiga tingkat yang sedang dibina tersebut runtuh dan menghempap tujuh pekerja dalam bangunan hingga menyebabkan kematian dua pekerja asing warga Indonesia iaitu Suparno dan Fathul Munir.

Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 34B (1) (c) Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia 1994 (Akta 520) dibaca bersama Seksyen 34D (1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda RM500,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Pegawai Pendakwa, Muhammad Hafidz Hassan mencadangkan mahkamah supaya menetapkan denda maksimum sehingga RM500,000 dengan mengambil kira ia telah menyebabkan kematian pekerja selain mengambil kira faktor keselamatan dan kepentingan orang awam sekiranya mereka berada di lokasi kejadian runtuh itu.

Bagaimanapun, Peguam Hayder Yazid yang mewakili tertuduh pula memohon mahkamah menetapkan wang jaminan paling minimum atas alasan tertuduh mempunyai tanggungan anak kecil dan ibu yang sudah berusia 86 tahun.

Tertuduh juga telah mengambil tanggungjawab dengan membayar kos rawatan mangsa yang cedera dan menghantar urusan membawa balik mayat ke negara asal mencecah RM44,300 selain turut membayar kompaun kepada pihak berkuasa tempatan.

Mahkamah kemudian menetapkan denda sebanyak RM150,000 kepada tertuduh dan dikenakan enam bulan penjara sekiranya gagal membayar denda tersebut.

*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian