KUALA LUMPUR: Seramai 392 ketua isi rumah (KIR) yang terkesan akibat bencana banjir telah menerima agihan bantuan wang ihsan (BWI) di Selangor pada Isnin.

Jelas Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Datuk Ruji Ubi, BWI berjumlah RM1,000 disampaikan kepada KIR yang terkesan dengan bencana banjir dan RM10,000 kepada waris mangsa bencana yang meninggal dunia.

“Hampir 400 ketua isi rumah, telah mendapat bantuan tersebut, termasuk mereka yang waris mangsa meninggal dunia dan insya-Allah kita akan teruskan bantuan ini untuk hari-hari seterusnya,” ujarnya dalam kenyataan di sini, hari ini.

[LAPOR LANGSUNG] Banjir: Jumlah mangsa di empat negeri catat penurunan

Bantuan yang disalurkan pada Isnin melibatkan 83 keluarga di PPS SK Putra Heights, PPS SMK Alam Megah 2 (52), PPS SK Alam Megah 3 (98), PPS Masjid Al Falah USJ 9 (59) selain 100 keluarga di daerah Sepang.

Sebelum ini, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali mengumumkan, peruntukan BWI telah disalurkan kepada negeri-negeri terjejas banjir dan ia akan disampaikan kepada penerima melalui tiga kaedah.

Beliau berkata, ia terdiri daripada kaedah serahan tunai di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB); serahan tunai rumah ke rumah; dan pemindahan Tunai Secara Dalam Talian (EFT).