HULU TERENGGANU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, berdepan dengan detik cemas apabila lori yang dinaikinya terbalik ketika dalam perjalanan ke Kampung Bukit Biah, Hulu Terengganu.

Maliaman Kassim berkata, dalam kejadian kira-kira jam 2.15 petang Ahad itu, beliau bersama pasukan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dalam perjalanan untuk menghantar bantuan makanan kepada mangsa banjir.

Menurut Maliaman, kemalangan itu dikatakan berlaku disebabkan arus deras, bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

"Sampai dekat jambatan Kampung Lebak depan veterinar, air terlalu deras. Apabila deras, lori yang tinggi mula bergerak ke kanan dan condong.

"Apabila condong ke tepi, air terus memasuki lori dan kami terpaksa menyelamatkan diri," katanya.

Kongsi beliau lagi, insiden berkenaan menyebabkan barangan bantuan makanan dan pakaian yang dibawa telah rosak dan ditenggelami banjir.

Banjir gelombang ke lima menyaksikan lapan daerah di Terengganu telah terjejas dan melibatkan seramai 6,963 mangsa.

Sebanyak 117 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka bagi menempatkan 2,072 keluarga di daerah terlibat iaitu Kemaman, Dungun, Setiu, Besut, Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Marang dan Hulu Terengganu.